Selasa, 12 Jun 2012

MARILAH KITA BERDOA....

Berdoa adalah amalan yang penting dan dapat menghubungkan manusia dengan Allah s.w.t sebagai penyelesaian segala masalah rohani dan jasmani, pelerai kesulitan dunia dan akhirat. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud :

"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu mengenaiKu, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila ia berdoa kepadaKu."

Berdoa juga merupakan suatu ibadah yang mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi supaya dimakbulkan Allah s.w.t. Antara adab-adab dan sifat-sifat berdoa ialah :

Keadaan bersih diri sebaik-baiknya berwuduk, bersih pakaian dan tempat serta menutup  aurat.

Dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri kepada Allah s.w.t dan mengadap ke arah kiblat.

Merendahkan suara dan tidak mengganggu orang lain.

Jangan menggunakan lafaz doa yang bersajak.

Yakinkan bahawa doa yang dipohon itu diperkenankan oleh Allah s.w.t.

Mengulang-ulangkan ungkapan doa yang penting di tempat-tempat tertentu.

Memulakannya dengan memuji Allah dan selawat ke atas Nabi s.a.w dan juga mengakhirinya dengan pujian terhadap Allah dan berselawat.

Beristighfar (bertaubat) sebelum berdoa.

Hendaklah memahami isi dan maksud doa yang dilafazkan.

Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa atau memutuskan hubungan silaturrahim dan jangan memohon segera dimakbulkan doa tersebut.

Memulai doa dengan memohon keampunan dosa diri sendiri yang dilakukan, kemudian untuk saudara-mara beriman.

Hendaklah dengan penuh perasaan pengharapan.

Mengangkat kedua-dua tangan sehingga paras bahu seperti yang dibuat oleh Nabi s.a.w.

Menadah tapak tangan mengarah ke langit dan sekiranya meminta perlindungan, tapak tangan mengarah ke bawah.

Berdoa dengan suara perlahan.

Berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, terdapat waktu-waktu tertentu yang lebih mustajab sebagaimana disarankan oleh Rasulullah s.a.w sendiri, antaranya :

waktu pagi sebelum terbit matahari dan setelah selesai menunaikan solat Subuh.

tiap-tiap selepas solat fardu lima waktu.

antara solat Zuhur, Asar dan Maghrib.

ketika bangun tidur.

selepas membaca tasyahud akhir sebelum salam.

ketika hendak masuk dan keluar masjid.

antara takbir solat hari raya.

dalam khutbah Jumaat, khutbah hari raya dan khutbah nikah.

ketika menziarahi Makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi.

ketika melakukan sesuatu pekerjaan dan urusan penting.

ketika membaca Qunut bagi solat Subuh dan lain-lain.

tiap-tiap kali mengadakan majlis dan upacara yang tidak berbentuk kemaksiatan dan kemungkaran.

ketika ditimpa kesulitan, gundah gulana dan resah gelisah.

ketika berjumpa dengan sanak saudara dan sahabat handai yang lama berpisah.

ketika hujan turun.

ketika hendak memulakan solat dan sesudah mengerjakannya.

sepanjang malam, terutama sepertiga yang akhir dan waktu makan sahur.

ketika khatam al-Quran 30 juzuk.

ketika sujud dalam solat khususnya pada sujud terakhir.

Berdoa boleh dilakukan di mana-mana sahaja, asalkan di tempat yang bersih dan sesuai tetapi yang afdalnya adalah di tempat-tempat berikut :

Apabila melihat Baitullah (Kaabah) di Mekah.

Ketika melakukan tawaf mengelilingi kaabah.

Di dalam kaabah.

Di sisi Multazam dan Hijr Ismail.

Ketika melihat masjid Rasulullah s.a.w di Madinah.

Di sisi telaga zamzam.

Di atas Bukit Safa dan Marwah.

Di belakang Makam Nabi Ibrahim a.s.

Di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah.

Di padang Arafah pada 9 Zulhijjah.

Di Mina pada hari Tasyriq.

Di dalam masjid.

Di sisi Jamratul Aqabah pada 11, 12, 13 Zulhijjah.

Doa-doa yang selalunya dimakbulkan Allah s.w.t ialah doa orang yang dalam keadaan berikut :

orang yang terdesak

orang yang kena zalim

anak yang berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapanya

doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim.

Adakalanya doa-doa tidak dimakbulkan Allah s.w.t. Antara sebab doa kita tidak dimakbulkan ialah :

ditangguhkan pada suatu ketika yang munasabah

kerana Allah s.w.t mengetahui seandainya permohonan ini dimakbulkan boleh menyebabkan sesuatu yang akan menyusahkan diri pemohon

berkemungkinan syarat-syarat doa tidak lengkap seperti tidak ikhlas, tergesa-gesa, tidak memohon kebaikan, hati yang tidak hadir, makanan dan pakaian daripada sumber-sumber yang haram atau syubhah.


Tiada ulasan: