Ahad, 17 Jun 2012

KENALI IMAM AS-SYAFIE

1.0              PENGENALAN


Imam Syafie amat dikenali di kalangan umat Islam. Umat Islam amat mengkagumi ketokohan dan kebijaksanaannya dalam bidang fiqh dan usul fiqh. Sejarah mencatatkan terdapat dua kejadian penting telah berlaku semasa kelahiran beliau. Kejadian pertama iaitu sewaktu dalam kandungan, ibunya bermimpi sebutir bintang telah keluar daripada perutnya dan terus naik menjulang tinggi, kemudian bintang itu pecah berderai dan berselerakkan memenuhi daerah-daerah di sekelilingnya. Kejadian kedua pula iaitu pada hari Imam Syafie dilahirkan, dua orang ulama besar iaitu Imam Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) dan Imam Ibn Jurej al-Makky (mufti Hijaz) telah meninggal dunia. Kedua-dua kejadian itu ditafsirkan bahawa akan lahir seorang putera yang akan menyinari alam dengan ilmunya dan bakal menggantikan kedua-dua tokoh ilmuwan yang meninggal itu. Tafsiran ini akhirnya menjadi kenyataan (Siradjuddin Abbas, 1979)[1].

2.0              RIWAYAT HIDUP
Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Saib bin Abu Yazid bin Hashim bin Abd Mutalib bin Abd Manaf. Beliau berketurunan Quraisy, ayah dan ibunya berasal dari Mekah. Beliau mempunyai pertalian darah dan keturunan dengan Rasulullah s.a.w pada datuknya Abd Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah Palestin pada tahun 150H dan wafat di Mesir pada 29 Rejab tahun 204H bersamaan dengan 820M. Nama Syafie telah diambil daripada nama datuknya iaitu Syafie bin Saib.
            Imam Syafie hidup dalam keluarga yang miskin dan menderita semasa kecilnya. Bapa beliau telah meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah membawa beliau ke Mekah, kampung halaman asal keluarganya dan tinggal di sana selama 20 tahun. Selama berada di Mekah, beliau banyak berkecimpung dalam bidang keilmuan khususnya yang berkaitan dengan ilmu agama. Ketika itu umat Islam dikatakan berada dalam “zaman keemasan” iaitu zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid dan al-Makmun.
            Imam Syafie banyak menghabiskan zaman mudanya dengan menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan. Beliau belajar membaca dan menghafal al-Quran dengan Ismail bin Qustantein. Ketika berumur sembilan tahun, beliau telah berjaya menghafal seluruh juzuk al-Quran. Imam Syafie juga berminat dengan bidang sastera Arab. Pada zamannya, Imam Syafie terkenal sebagai penyair. Syairnya sangat indah dan bermutu tinggi, bukan sahaja dari segi tema dan mesejnya tetapi dari segi bentuk dan gubahan yang terkawal dan seimbang. Menurut Mohd Saudi (1986) Imam Syafie telah menghafal sebanyak 10,000 rangkap daripada syair Huzail. Perkara ini diakui Imam Syafie dalam kitabnya, Az-Zuhdi. Beliau juga telah menghafal syair-syair daripada Amru al-Qiss, Zuheir, Jarir dan lain-lain.
Ketika berusia 13 tahun, Allah s.w.t mengurniakan kepadanya suara yang merdu. Apabila beliau membaca al-Quran, ulama di Mekah menjadi khusyuk dan menangis semasa mendengar bacaannya kerana takut kepada Allah s.w.t. Pada usia 10 tahun Imam Syafie telah menghafal kitab al-Muwatta’, karangan Imam Malik. Imam Syafie telah menghafal kitab tersebut dalam tempoh sembilan malam. Ketika berusia 15 tahun pula beliau diiktiraf menjadi guru Sheikh di Masjid Haram dan boleh memberi fatwa.
 
 
3.0              GURU-GURU DAN MURID-MURID IMAM SYAFIE
Imam Syafie telah menuntut banyak ilmu daripada para gurunya yang jauh dari tempat tinggalnya dan guru-guru tersebut juga mempunyai manhaj keilmuan yang berbeza. Beliau telah menimba ilmu dari para guru di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq. Imam Syafie mempunyai ramai guru kerana beliau banyak mengembara. Antara guru-gurunya yang tersohor iaitu mereka yang terkenal pandai dalam bidang fikah dan fatwa. Antara guru beliau ialah[2] :
  1. Di Mekah
1.      Sufyan bin Uyainah
2.      Muslim bin Khalid Al-Zanji
3.      Said bin Salim Al-Qaddah
4.      Daud bin AbdurrahmanAl-Aththar
5.      Abdul Hamid bin Abd Azizi bin Abi Rawad
6.       Ismail bin Qustantein
  1. Guru Imam Syafie di Madinah
1.      Imam Malik bin Anas
2.      Ibrahim Ibn Saad Al-Ansari
3.      Abdul Aziz bin Muhammad ad-Darurdi
4.      Ibrahim Abnu Abi Yahya al-Asaami
5.      Muhammad bin Said
  1. Guru Imam Syafie di Yaman
1.      Muthraf bin Mazin
2.      Hisyam bin Abu Yusuf Qadi San’a
3.      Umar bin Abi Salamah
4.      Yahya bin Hasan
  1. Guru Imam Syafie di Iraq
1.       Waki’ bin Jarrah,
2.      Abu Usamah Hamad bin Usamah,
3.      Ismail bin ‘Aliah,
4.      Abdul Wahab bin Abd Majid,
5.      Muhammad bin Al-Hassan.
Imam Syafie mempunyai ramai murid yang setia menuntut ilmu dari beliau pada ketiga fasa kehidupan intelektualnya sama ada ketika beliau menetap di Mekah, Baghdad dan Mesir. Antara murid-murid beliau ialah :
  1. Di Mekah
1.       Abu Bakar Al-Humaidi
2.      Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad Al-‘Abbasi
3.      Abu Bakar Muhammad bin Idris
4.      Abu Al-Walid Musa bin Abu Al-Jarud
  1. Di Baghdad  
1.      Abu Al-Hasan Ash-Shubbah Al-Za’fariim
2.      Abu Ali Al-Husaini bin Ali Al-Karabisi
3.      Abu Tsaur Al-Kalbi
4.      Abu Abdurrahman Ahmad bin Muhammad bin Yahya Al-Asy’ari Al-Bashri
5.      Imam Ahmad bin Hanbal
6.      Ishak bin Rahawaih
  1. Di Mesir
1.      Harmalah bin Yahya bin Harmalah
2.      Abu Ya’qub bin Yahya Al-Buaithi
3.      Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzni
4.      Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam
5.      Ar-Rabi’ bin Sulaiman bin Daud Al-Jizi
6.      Ar-Rabi’bin SulaimanAl-Muradi
Anak murid Imam Syafie yang benar-benar rapat yang membantu beliau menulis dan menyusun buku tidaklah ramai. Antaranya ialah Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Abdullah bin Zubier Al-Humaidi, Abu Ya’qub bin Yahya Al-Buwaiti Al-Masri, Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya Al-Muzani Al-Masri, Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Jizi, Harmalah bin Yahya Al-Yajubi dan Yunus bin Abdil A’la.

 4.0              BUKU-BUKU DAN SUMBANGANNYA

Imam Syafie banyak menulis buku yang kebanyakannya menjurus kepada ilmu fiqh dan usul fiqh. Dikatakan bahawa Imam Syafie telah mengarang 113 kitab dalam ilmu usul, tafsir, fikah, adab, ilmu falak, ilmu kedoktoran dan lain-lain yang memberi sumbangan yang besar kepada ahli fikir Islam. Antara karya-karyanya ialah : Ar-Risalah, Ahkam al-Quran, Ikhtilaf al-Hadith, Ibtal al-Istihsan, Jima’ al-Ilm, Kitab Al-Qiyas. Kesemua karya ini adalah dalam kitab Usul Fiqh. Manakala karya beliau dalam kitab Fikah ialah Al-Umm, Al-Musnad, Mukhtasar al-Muzani, Harmalah, Jami’al al-Muzani al-Kabir dan Jami’ul-Muzani as-Syaghir.
Imam Syafie adalah ulama mujtahidin yang kuat berpegang kepada al-Quran, Hadith, Ijma’ Ulama, Qias dan Masolih al-Mursalah. Pendapat Imam Syafie diterima oleh sebahagian besar orang-orang Islam kerana segala fatwanya sesuai dengan suasana, masyarakat dan adat resam sesuatu kaum. Beliau mengasaskan kaedah-kaedah tertentu dalam mensabitkan hukum seperti menggunakan hadis yang sohih untuk mensabitkan hukum tanpa melihat statusnya. Beliau sangat teliti dalam mengutarakan pandangan khususnya dalam masalah ibadah. Mazhab as-Syafie telah berkembang dengan pesat di Afrika Utara, Mesir, Indo China, Sri Lanka, Armenia, Kurdistan dan di Kepulauan Melayu, Indonesia, Singapura dan Malaysia.






[1] Samsu Adabi Mamat, Wan Ramli Wan Muhamad (2002). Cendekiawaan Islam Perintis Peradaban Manusia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

[2] Muhammad Zahrah (2011). Biografi Gemilang Imam Syafie. Terj: H. Muhammad Zuhirsyan, Puchong, Selangor: Jasmin Publications.






Tiada ulasan: