Ahad, 17 Jun 2012

MARI KENALI IMAM AL-GHAZALI

1.0              PENGENALAN
Pada zaman pemerintahan kerajaan Dinasti Saljuk, lahir seorang intelek Islam yang sangat masyhur khususnya semasa pemerintahan Sultan Malik Shah (465H). Walaupun beliau lahir dari keturunan yang sangat miskin, namun berkat kegigihan dalam meneroka ilmu pengetahuan beliau telah menjadi seorang yang “kaya raya”. Cendekiawan ulung yang dimaksudkan ialah Hujjat al Islam Zaynuddin Imam al Ghazali al Syafie. Kemasyhurannya sangat dikagumi sehingga ke hari ini bukan sahaja di kalangan dunia Islam bahkan juga dunia barat. Beliau telah berani melakukan pembaharuan yang drastik terhadap pemikiran umat Islam di zamannya, dengan tujuan mengubah kepercayaan dan iktikad mereka yang sesat pada ketika itu khususnya dalam ilmu Falsafah, Tasawuf dan Kalam. Nama Imam al-Ghazali disebut-sebut sebagai seorang sarjana Islam yang telah berjaya menguasai pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu Usuluddin, Fekah, Kalam, Hadith, Sosiologi, Falsafah, Pendidikan dan sebagainya. Dengan keistimewaan yang dimilikinya, tidak hairanlah Imam al-Ghazali dinobatkan sebagai “ensiklopedia” pada zamannya.


2.0              RIWAYAT HIDUP

Nama Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al Tusi al Syafie. Beliau lebih terkenal dengan panggilan al-Ghazali. Imam al-Ghazali dilahirkan pada pertengahan kurun ke 5 H iaitu pada tahun 1058 Masehi bersamaan tahun 450H di sebuah kampung yang bernama Ghazalah iaitu di pinggir kota kecil Thus dalam wilayah Khurasan di utara negara Iran. Panggilan kepada beliau “Abu Hamid” yang bermaksud “bapa kepada Hamid” adalah gelaran khusus beliau setelah beliau berumahtangga dan mendapat cahaya mata putera yang bernama Hamid. Imam al-Ghazali telah dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelaki tunggalnya yang bernama Hamid telah kembali ke rahmatullah ketika usianya masih kecil lagi. Beliau berketurunan Parsi dan sangat sinonim dengan gelaran Hujjat al Islam, Zaynuddin, al Tusi dan al Faqih al Syafie.


            Imam al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir, ahli falsafah Islam yang terkemuka yang banyak memberi sumbangan bagi perkembangan kemajuan manusia. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Kaunselor di Madrasah Nizhamiyah, pusat pengajian tinggi di Baghdad. Beliau juga adalah seorang ilmuan yang terkenal terutama dalam bidang fekah dan merupakan seorang juru dakwah yang tersohor. Beliau juga merupakan seorang ahli sufi dan pemidato yang sangat popular. Beliau memiliki kecerdasan akal yang tinggi, bijak bercakap dan berbahas serta berusaha meneliti setiap cabang ilmu yang dipelajarinya dengan bersungguh-sungguh. Di samping itu beliau juga merupakan salah seorang tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun ke 5 Islam tanpa ada khilaf di kalangan para ulama tentang taraf mujaddid beliau ini. Beliau telah meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 505H bersamaan 18 Disember 1111 Masehi ketika berusia 55 tahun di Thus.


3.0              GURU-GURU DAN MURID-MURID IMAM AL GHAZALI

Gurunya yang mula-mula dalam fiqh ialah Imam Abu Hamid Ahmad bin Muhammad Ar-Radzakani Ath-Thusi. Beliau belajar dengan gurunya itu semasa di Thus. Ketika di Jurjan Imam al-Ghazali berguru dengan Abu An-Nashr Al-Isma’ili dan ketika di Nisabur beliau belajar dengan gurunya yang bernama Imam Al-Haramain. Imam Al-Haramain Al-Juwaini merupakan guru Imam al-Ghazali yang paling terkenal yang dianggap sebagai ulama terkemuka dunia Islam waktu itu. Sewaktu di Thus dan Nisabur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fiqh dan syariah. Kemudiannya, beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelusuk dunia Islam ; ke Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah.


            Guru Imam al-Ghazali di dalam bidang tasawuf ialah Imam Az-Zahid Abu Ali Al-Fadhl bin Muhammad bin Ali Al-Faramadi Ath-Thusi. Manakala di akhir hayatnya Imam al-Ghazali belajar hadith dari sebahagian syeikh. Antaranya ialah Abi Sahl Al-Marwazi dan Muhammad bin Yahya Az-Zuzani. Di dalam bidang falsafah, beliau tidak mempunyai guru. Beliau mempelajari bersungguh-sungguh ilmu falsafah itu dari kitab-kitab tanpa meminta bantuan dengan guru. Beliau mempelajarinya ketika waktu terluang daripada mengarang dan mengajar. Beliau mempelajarinya dalam masa lebih kurang dua tahun.


            Imam al-Ghazali juga mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid beliau ialah Muhammad bin Yahya, Abu Bakar Ibnul Arabi, Muhammad bin Taumrut.



4.0              BUKU-BUKU DAN SUMBANGAN IMAM AL GHAZALI

Imam al-Ghazali termasuk salah seorang dari imam-imam yang banyak mempunyai karangan. Beliau telah meninggalkan banyak khazanah ilmu yang bernilai kepada seluruh umat manusia dan umat Islam khususnya iaitu dengan lebih 200 buah buku karyanya. Antara karya beliau yang masyhur ialah :

1.      Ihya’ Ulum al Din

2.      Al Munqidz min ad Dhalal

3.      Al Mustasfa min ‘ilm al Usul

4.      Tahafut al Falasifah

5.      Al-Wajiz

6.      Al-Basith

7.      Al-Wasith

8.      Al-Khulashah

9.      Maqasid al Falasifah

10.  Al-Mankhul

11.  Tanahir al Quran

12.  Mi’yar al ‘Ilm fi Fann al Mantiq



Sumbangan dan jasa Imam al-Ghazali terhadap dunia Islam sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Walaupun beliau telah lama meninggalkan alam ini, warisan ilmu dan karya-karyanya yang sangat berharga tetap menjadi ingatan yang masih segar untuk diabadikan oleh generasi selepasnya sehinggalah ke hari ini. Segala karya tulisan Imam al-Ghazali telah banyak menarik perhatian orang-orang di Eropah sehingga pelbagai hasil tulisan beliau telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Tulisan beliau tentang logic, psikologi dan metafizik merupakan karya beliau yang pertama kali menawan hati orang-orang Barat terutama di Sepanyol. Buku Maqasid al Falasifah telah diterjemah ke dalam bahasa Latin oleh Dominicus Gundissalimus dengan judul Logica et Philosophia al Ghazali pada tahun 1145 M. Imam al-Ghazali juga telah meninggalkan sumbangan yang berharga dengan mengubah mentaliti umat Islam kembali ke landasan yang sebenar. Sumbangan beliau tersebut dikategorikan seperti berikut[1] :

1.     Beliau berjaya menyedarkan manusia daripada mengejar teori-teori perdebatan, ilmu Fekah dan Logik serta perbezaan aliran mazhab kepada menumpukan perhatian kehidupan yang sebenar dan menghayati agama, kitab Allah dan as Sunnah atau dengan kata lain kembali kepada roh agama dan intinya, bukan kepada kulit dan selaputnya.

2.     Al-Ghazali menerusi nasihat-nasihat, perbincangan etikanya serta perbahasan kejiwaannya telah memulihkan dan mengetengahkan semula unsur “takut”. Dalam bukunya al Munqidh min al Dhalal beliau menekankan perlu dicetuskan perasaan takut dan bimbang dalam diri kerana keadaan tidak sesuai lagi untuk bersikap lembut, mengambil hati dan lunak terhadap mereka. Perasaan takutkan neraka perlu ditanam sebagai dorongan utama untuk mencapai hidayah Allah dan menjauhi kesesatan serta hawa nafsu.

3.     Gerakan sufi telah mencapai kedudukan yang teguh dan mantap dalam Islam berkat pengaruh dan kesan al-Ghazali, walaupun beliau bukanlah orang yang mula-mula memperkenalkannya kepada Islam kerana Tasawuf sudah pun wujud sebelum kemunculan Imam al-Ghazali lagi.

4.     Penonjolan beliau terhadap falsafah Neoplatoisme dalam gambaran Islam yang tulin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah ternyata tidak dipengaruhi oleh pengaruh lain selain Islam.


Selain daripada itu, Maududi juga telah mencatatkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh al-Ghazali sebagai seorang ulama ulung dalam sejarah pemikiran Islam. Kejayaan-kejayaan tersebut ialah[2] :

1.     Al-Ghazali telah mengkaji pemikiran Yunani dan mengkritiknya sehingga pengaruh Yunani kepada alam pemikiran Islam menjadi lemah. Kesan kritikannya terlalu kuat sehingga menembusi Eropah dan menghalang pengaruhnya di sana sebaliknya membuka pintu kepada zaman penyelidikan moden dan zaman enlightenment.

2.     Beliau telah berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli Falsafah dan ahli Kalam. Al-Ghazali menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung pada hipotesis-hepotesis yang tidak rasional tetapi bersandar kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata.

3.     Beliau telah memberi penafsiran yang rasional tentang kepercayaan asas Islam sehinggakan kesahihannya tidak dapat dipersoal atas dasar rasionalisme berabad-abad berikutnya. Disamping itu, beliau menerangkan hikmah setiap suruhan syariah dan memberi kepada umat konsepsi yang jelas mengenai Islam sehingga segala keraguan mereka dapat dihilangkan.

4.     Beliau telah memeriksa semua kumpulan agama pada zamannya dan perbezaan antara mereka. Dengan cermat beliau telah menjelaskan had-had antara Islam dan kufur, had-had kebebasan penafsiran dibolehkan dan batas-batas yang dilampaui yang bermakna kufur. Beliau juga menunjukkan Islam yang sebenar telah membezakan mereka daripada yang palsu.

5.     Beliau menghidupkan semula kefahaman Islam dan meninggalkan taklid buta, menentang kejumudan serta menarik perhatian masyarakat kepada punca sebenar, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

6.     Beliau mengkritik sistem pendidikan yang sedang merosot dan mengesyorkan sebuah sistem baru untuk menukarkannya. Sistem yang wujud pada masa itu mempunyai dua kelemahan iaitu : (1) ia memisahkan sains keduniaan daripada sains Islam yang mengakibatkan pemisahan urusan dunia daripada amalan agama. (2) beberapa perkara yang tiada tempat dalam syariah dimasukkan ke dalam kurikulum, seolah-olah ia adalah sebahagian daripada syariah. Jadi, institusi-institusi pendidikan memberikan hal-hal yang salah kepada pemikiran masyarakat mengenai Islam dan membantu melahirkan kumpulan baru itu. Imam al-Ghazali telah menjelaskan kelemahan-kelemahan tersebut dan menyediakan satu sistem yang menyeluruh meskipun ditentang oleh orang-orang sezaman dengannya kemudian diterima oleh semua negara Islam.

7.     Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap moral dan agama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untuk mereformasikannya. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya yang utama, Ihya’ Ulum al Din adalah hasil daripada usaha ini.

8.     Beliau telah mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud dan meminta pegawai-pegawainya melalui hubungan individu kepada islah dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk menahan dan mengkritik penindasan.



[1] Abu Zarrin bin Selamat (2006). Kepentingan Pendidikan Sakral Menurut Al Ghazali Relevannya Ke Arah Memupuk Solidariti Ummah. Kajian Teks Ihya’ Ulum Al Din, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya: Fakulti Sastera Dan Sains Sosial.
[2] Abu Zarrin bin Selamat (2006). Kepentingan Pendidikan Sakral Menurut Al Ghazali Relevannya Ke Arah Memupuk Solidariti Ummah. Kajian Teks Ihya’ Ulum Al Din, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya: Fakulti Sastera Dan Sains Sosial.

Tiada ulasan: