Isnin, 25 Jun 2012

PESTA BUKU & KARNIVAL PENDIDIKAN 2012

Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam, Selangor dengan kerjasama BTPN Selangor dan Syarikat Cerdik Publications telah mengadakan Pesta Buku dan Karnival Pendidikan pada 23 hingga 26 Jun 2012 di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar, Selangor. Pelbagai acara telah diadakan, di antaranya jualan buku daripada syarikat-syarikat swasta, jualan makanan minuman, pertandingan teka silangkata, pertandingan mewarna, futsal, sukaneka, cabutan bertuah, perang kuali, pertandingan menulis khat, melukis poster, pertandingan bercerita, membaca lancar dan sebagainya.

Majlis perasmian Pesta Buku dan Karnival Pendidikan, Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam, Selangor telah diadakan pada 25 Jun 2012 (Isnin). Majlis perasmian telah disempurnakan oleh wakil Pengarah Pelajaran Selangor iaitu En Azmi bin Misron, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Bahasa Melayu, Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Dalam masa yang sama pada 25 Jun 2012 tersebut, diadakan pertandingan perang kuali yang terdiri dari guru besar-guru besar bersama guru-guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) prasekolah dari Zon Sabak, Zon Sungai Besar, Zon Sungai Air Tawar dan Zon Sekinchan yang menyediakan masakan Melayu (zon Sekinchan), masakan Jawa (zon Sungai Besar), masakan Minang (zon Sungai Air Tawar) dan masakan Banjar (Zon Sabak). Selain daripada itu, pada hari tersebut juga dijalankan pertandingan mewarna Tahap 1 dan Tahap 2 dan pertandingan menulis khat Tahap 1 dan Tahap 2 serta sukan prasekolah. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Pesta Buku dan Karnival Pendidikan PPD Sabak Bernam bagi tahun 2012.

Majlis Perasmian
ucapan Pn Hjh Samsiah Hj Jamaluddin
Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam

ucapan En Azmi bin Misron
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Bahasa Melayu
Sektor Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor

Tetamu-tetamu yang terdiri daripada
Pengetua-Pengetua, Guru Besar-Guru Besar,
Penolong Kanan-Penolong Kanan & Guru Perpustakaan & Media


perbarisan murid-murid prasekolah daerah sabak bernam


Perang Kuali Zon Sabak dengan masakan Banjar
Perang Kuali Zon Sungai Air Tawar dengan masakan Minang

peserta-peserta Perang Kuali dari Zon Sabak (masakan Banjar)
diketuai oleh Pn Hjh Nor Ayezati Awang
Guru Besar SK Sapintas
Ketua Perang Kuali Zon Sungai Besar (masakan Jawa)
Pn Hjh Hasnah binti Marwan
Guru Besar SK Seri Makmur

Peserta Perang Kuali dari Zon Sungai Air Tawar
dengan masakan Minang
antara gerai jualan


perserta-peserta pertandingan mewarna
Intan Liyana Mohd Hanapi mewakili
SK Sapintas
suasana di tapak jualan buku



peserta-peserta pertandingan menulis khat

Nurin Syazwani Abdul Karim mewakili
SK Sapintas dalam pertandingan menulis khat


Perasmi melawat ke tapak pertandingan Perang Kuali antara
zon-zon di daerah Sabak Bernam


masakan Minang

Para hakim sedang mengadili masakan Banjar
dari Zon Sabak


Tempat ke 4 Perang Kuali Zon Sabak
dengan masakan Banjar


Tempat ke 3 Perang Kuali Zon Sekinchan
 dengan masakan Melayu


Naib Johan Perang Kuali Zon Sungai Air Tawar
dengan masakan Minang

Johan Perang Kuali Zon Sungai Besar
dengan masakan Jawa

Johan pertandingan menulis khat
Nurin Syazwani Abdul Karim
SK Sapintas

peserta-peserta Perang Kuali Zon Sungai Besar

Peserta-peserta Perang Kuali Zon Sabak

Peserta-peserta Perang Kuali Zon Sungai Air Tawar



Khamis, 21 Jun 2012

TEORI PENCIPTAAN MANUSIA

PENDAHULUAN

Alam adalah sebuah keajaiban dan banyak misteri. Cuba kita renung dan fikirkan. Diri kita, langit, bumi dan alam ini. Dapatkah akal memberi jawapan tentang kehidupan. Tentang bagaimana manusia itu datang, apakah tujuan sebenar kehidupan manusia dan ke manakah akhirnya perjalanan kehidupan manusia. Sejak dahulu kala lagi manusia selalu mempertanyakan asal usul kehidupan dan tentang dirinya. Jawapan sementara atas pertanyaan tersebut ada tiga alternatif  iaitu penciptaan, transformasi atau evolusi biologi. Sebelum diterangkan dengan lebih lanjut, terlebih dahulu dihuraikan pengertian manusia itu sendiri.


Manusia dapat diertikan berbeza-beza menurut biologi, rohani dan istilah kebudayaan atau secara campuran. Secara biologi, manusia dikelaskan sebagai Homo sapiens (Bahasa Latin untuk manusia bijak), sebuah spesies primat dari golongan mamalia yang dilengkapi otak berkemampuan tinggi. Dalam hal kerohanian, manusia dijelaskan menggunakan konsep jiwa yang bervariasi di mana dalam agama dikaitkan dalam hubungannya dengan kekuatan ketuhanan atau makhluk hidup; dalam mitos, manusia juga seringkali dibandingkan dengan bangsa lain. Dalam antropologi kebudayaan, manusia dijelaskan berdasarkan penggunaan bahasanya, organisasi mereka dalam masyarakat majmuk serta perkembangan teknologinya dan terutama berdasarkan kemampuannya untuk membentuk kelompok dan lembaga untuk sokongan serta pertolongan di antara satu sama lain. Manusia yang ada di muka bumi ini terdiri dua jantina iaitu lelaki dan perempuan.


 Manusia merupakan salah satu  makhluk ciptaan untuk melengkapi kehidupan di muka bumi ini. Manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding kehidupan lain kerana manusia dikurniakan akal fikiran untuk berfikir dan bertanggungjawab untuk mentadbir alam ini. Manusia terdiri daripada tiga unsur iaitu akal atau minda, fizikal atau biologikal dan roh. Dengan adanya otak yang dapat berfikir dengan baik, manusia menjadi pemimpin di kalangan semua makhluk yang ada di bumi ini. Komponen fizikal merangkumi semua anggota tubuh manusia serta bahagian lain yang dapat dilihat dan dipegang secara langsung. Manakala komponen roh pula komponen yang wujud tetapi tidak dapat diperhatikan secara zahir yang kekal ada dalam setiap manusia. Roh yang mendorong manusia mencari sistem kepercayaan. Fikiran pula merupakan kebolehan untuk menilai dan bertindak secara rasional. Terdapat  teori-teori yang membincangkan kejadian manusia. Antaranya ialah teori penciptaan manusia menurut agama Islam, Barat, Budhha, Hindu dan sebagainya. Teori-teori ini mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan kejadian manusia. Dalam tajuk ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam tentang kejadian manusia mengikut teori-teori tersebut.


ASAL-USUL KEJADIAN MANUSIA

Manusia adalah punca penciptaan alam ini sama ada alam nyata atau alam ghaib. Dalam erti kata yang lain, kerana Allah s.w.t hendak menjadikan manusialah sekalian alam ini dijadikan. Bagi membolehkan manusia yang begitu mulia ini hidup aman bahagia dan selamat sejahtera, Allah s.w.t telah menjadikan segala sesuatu yang dapat menyempurnakan keperluan manusia. Sebab itulah bumi dijadikan sebagai planet yang paling sempurna dan terbaik sehingga mengandungi serba-serbi yang dapat digunakan oleh manusia untuk kesempurnaan hidup mereka.


Manusia pertama yang dicipta oleh Allah s.w.t ialah Adam. Kita juga selalu mendengar kisah Nabi Adam a.s dan tahu tentang kejadiannya itu adalah dari tanah. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 30 tentang penciptaan manusia pertama iaitu Adam :


Ertinya : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".


            Di dalam al-Quran ada menjelaskan dengan terperinci tentang proses penciptaan manusia (Adam)  itu adalah dari tanah, seperti firmanNya di dalam surah al-Mu’minun ayat ke 12 :

      
Ertinya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah.


            Jenis tanah yang digunakan untuk mencipta Adam ialah daripada 12 tanah tempat di bumi iaitu dari tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis, tanah dari Bukit Tursina, tanah Iraq, tanah Aden, tanah al-Kautsar, tanah tempat bakal berdirinya Baitullah, tanah Paris, tanah Khurasan, tanah Babylon, tanah India, tanah syurga dan tanah Thaif. Allah s.w.t telah memerintahkan malaikat Izrail turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam walaupun pada asalnya bumi tidak mengizinkan.


            Ketika Allah s.w.t mencipta Adam, tanah itu dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam sifat. Kemudian tubuh Adam digenggam dengan genggaman Jabarut dan kemudiannya diletakkan di dalam Alam Malakut. Tanah yang akan dijadikan tubuh Adam itu adalah tanah pilihan. Justeru, sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah, dan dirasmikan dengan air hujan Barul Uluhiyah. Seterusnya, tubuh itu dibenamkan di dalam air Kudrat IzzahNya iaitu sifat Jalan dan Jammal, maka terciptalah tubuh Adam yang sempurna.[1]


            Berkenaan roh pula, ketika diperintahkan masuk ke dalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar mengelilingi patung Adam yang terlantar. Akhirnya, Allah s.w.t menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk dan mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail. Menurut riwayat, ketika Adam masih di syurga kulitnya sangat baik sekali tidak seperti warna kulit manusia. Oleh kerana Adam telah diturunkan ke dunia, maka terjadilah perubahan pada warna kulitnya, hanya warna pada kuku manusia sahaja yang sama iaitu putih kemerah-merahan walaupun orang itu kulitnya hitam.


            Allah s.w.t menjadikan pada tubuh Adam sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang di kepala (dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan satu liang mulut) dan dua buah liang di bawah badan (satu liang kemaluan dan liang dubur). Adam juga dijadikan padanya lima pancaindera iaitu mata sebagai alat penglihatan, hidung sebagai alat penciuman, telinga sebagai alat pendengaran, mulut sebagai alat merasa manis masin dan sebagainya dan anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan (untuk merasa halus, kasar dan sebagainya).


            Roh memasuki tubuh Adam secara perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat melirik ke kiri, ke kanan dan ke bawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras. Adam dapat melihat di kiri kanannya para malaikat yang sedang menyaksikan kejadiannya dan ketika itu dia dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

            Kemudiannya pula, ketika roh sampai ke hidungnya, ia mula bersin dan seterusnya mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah mengajar padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya ke hadrat Allah. Lalu Allah berkata : Yarhamukallah yang bererti, semoga engkau diberi rahmat Allah. Oleh kerana itu, apabila ada orang bersin, menjadi sunat mengucapkan Alhamdulillah dan orang yang mendengarnya sunat pula mengucapkan Yarhamukallah. Seterusnya apabila roh sampai pada dadanya, tiba-tiba sahaja ia mahu bangun padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Manakala ketika roh sampai di bahagian perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna dan ketika itulah terasa lapar. Seterusnya roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki maka terjadilah darah daging dan tulang, urat-urat berkulit dengan sempurna yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik dan semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun dan diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah ke langit ketujuh sebelum di bawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.[2]



KEJADIAN MANUSIA MENURUT ISLAM

Islam menjelaskan bahawa manusia pertama adalah Adam a.s. Daripada Adam Allah s.w.t menciptakan Hawa dan dari kedua-duanyalah berkembang biak zuriat keturunan manusia hingga ke hari ini. Adam a.s dipilih oleh Allah s.w.t sebagai khalifah di bumi untuk menjadi pengurus dan pengatur kehidupan manusia di bumi berdasarkan syariat dan peraturan Allah s.w.t bersesuaian dengan matlamat penciptaannya iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah az-Zaariyaat ayat 56 :

Ertinya : Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.


 Nabi Adam a.s dijadikan Allah s.w.t berasaskan perancangan yang sungguh unik, istimewa dan teratur. Baginda dibekalkan pelbagai keistimewaan seperti tenaga, perasaan, fikiran, ilmu pengetahuan dan lain-lain lagi untuk melayakkan dirinya sebagai hamba dan khalifahNya di atas muka bumi ini. Peranan sebagai hamba dan khalifah di atas bumi adalah satu tugas yang amat berat dan tidak sanggup dipikul oleh makhluk-makhluk lain tetapi hanya sanggup dipikul oleh manusia sahaja kerana manusia dikurniakan dengan akal fikiran. Manusia mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri iaitu manusia mempunyai kesempurnaan kejadian, mempunyai unsur jasmani dan rohani, mempunyai akal fikiran dan nafsu, manusia adalah khalifah Allah di bumi dan manusia dapat menikmati kemudahan alam tabii.

            Terdapat banyak surah di dalam al-Quran yang menghuraikan tentang penciptaan manusia. Di dalam al-Quran zuriat keturunan Adam dijelaskan oleh Allah s.w.t kejadiannya melalui beberapa proses dan peringkat:

            Peringkat Satu : Nutfah

            Nutfah iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani. Firman Allah dalam surah al-Insaan ayat 2 :

 
Yang bermaksud : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur (antara benih lelaki dengan perempuan) yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”.


            Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas sama ada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran. Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Allah s.w.t menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan. Daripada nutfah inilah Allah s.w.t menciptakan anggota-anggota yang berlainan, tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki terbentuknya saraf, tulang dan fakulti, manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.
           

            Peringkat Kedua : Alaqah

            Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama / hari ketujuh. Pada hari yang ketujuh telor yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim. Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah. Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 14 :


Yang bermaksud : “Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang  (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik”.


            Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga di dalam rahim.



            Peringkat Ketiga : Mudghah

            Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14.



Firman Allah yang bermaksud :

            “Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging”

Al-Mukminun : 14

            Di peringkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi ke situ bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.


            Peringkat Keempat : Izam dan Lahm

            Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan otot-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut.


Firman Allah yang bermaksud :


“Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam dan kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging”.

Al-Mukminun : 14

            Kemudian pada minggu ke tujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus, seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke paru-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah pinggang, pundi kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.



            Peringkat Kelima : Nasy’ah Khalqan Akhar

            Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu ke lapan, beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin. Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya. Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatel bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja. Firman Allah yang bermaksud :

  

“Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang  (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik”.

Al-Mukminun : 14


Peringkat Keenam : Nafkhur Ruh

            Pada peringkat ini ialah peringkat peniupan roh. Para ulamak Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t melalui kesaksian sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A’raaf ayat 172:


Yang bermaksud : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar dihari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”.



            Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan di sisi Allah s.w.t. Ada juga hadis yang menjelaskan proses kejadian manusia iaitu :



عَنْ أَبِي عَبْدِالرَّحْمَنِ عَبْدِالله بن مَسْعُوْدٍ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : حَدَّثَنَا رَسُوْلُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِى بَطْنِ أُمِّهِ اَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُوْنُ مَضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسِلُ اللهُ المَلَكَ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ ......  (الشيخان)

Terjemahan : Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami : setiap daripada kamu dihimpunkan di dalam perut ibu selama empat puluh hari dalam keadaan air mani atau nutfah, kemudian menjadi seketul darah (alaqah) selama empat puluh hari, kemudian menjadi seketul daging selama empat puluh hari pula. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan ruh padanya……[3]


KEJADIAN MANUSIA MENURUT BIOLOGI


Manusia dari segi fizikal, terdiri daripada komponen sel, daging, tulang, saraf, darah dan lain-lain yang membentuk jasad. Percantuman sperma dan ovum di dalam rahim ibu membentuk janin yang membesar secara berperingkat-peringkat. Setelah sempurna tempoh janin berada di dalam rahim ibu, ia pun lahir sebagai bayi.



            Proses kejadian manusia melalui penemuan sains ini adalah tidak bercanggah dan tidak bertentangan dengan penjelasan al-Quran dan as-Sunnah. Hanya proses peniupan ruh ke dalam janin sahaja yang tidak mungkin ditemui oleh penyelidikan sains seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi firmannya di dalam surah al-Israa’ ayat 85:



 Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang ruh, katakanlah : ruh itu urusan Tuhanmu dan kamu tidak akan diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.


            Ayat ini menjelaskan bahawa manusia dengan ilmu pengetahuan mereka yang terbatas, hanya mampu mengkaji perkara-perkara yang nyata sahaja. Mereka tidak mampu mengkaji ruh kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Ini membuktikan kelemahan manusia dan menunjukkan kewujudan serta kekuasaan Allah s.w.t. Pengurniaan akal kepada manusia menjadikan mereka makhluk yang istimewa, berbanding makhluk-makhluk yang lain. Dengan akal, manusia mampu berfikir, berusaha dan merekacipta sesuatu yang boleh meningkatkan mutu kehidupan. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tin ayat 4 :



Maksudnya : Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.



Dengan nikmat akal juga, manusia mampu berfikir tentang kejadian diri mereka dan alam sekitar serta mengkagumi dan menghargai kejadian-kejadian tersebut. Manusia akhirnya mengakui kewujudan Allah s.w.t serta mengagungkan kekuasaanNya.



KEJADIAN MANUSIA MENGIKUT TEORI EVOLUSI

Teori yang paling popular diperkatakan berhubung kejadian manusia adalah Teori Evolusi Darwin. Teori evolusi ini dipelopori dan diasaskan oleh seorang ahli zoologi dari England  bernama Charles Robert Darwin. Charles Darwin ialah seorang pakar penyelidik alam semulajadi lebih dikenali sebagai pengarang buku yang terkenal “The Origin Of Species”. Beliau dilahirkan pada tahun 1809 di Bandar Shrewsbury dari sebuah keluarga mewah. Bapanya seorang tabib yang terkenal manakala datuknya Eramus Darwin juga seorang tabib yang terkenal dan ahli falsafah yang telah banyak menulis mengenai alam. Sejak kecil, Darwin amat mencintai alam semulajadi dan suka memerhati haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang ditemuinya. Beliau seorang yang tekun dan penyabar. Sifat-sifat inilah yang akhirnya membawa beliau kepada kejayaan sebagai seorang penyelidik alam semulajadi yang terkenal di dunia sains.



            Di Bahia Blanca, Darwin mengambil langkah yang pertama dalam teori evolusinya. Beliau telah menjumpai banyak rangka-rangka haiwan yang melekat pada batu, termasuk juga fosil Megatherium. Ke mana sahaja dia pergi sentiasa memerhatikan jasad kehidupan di sekelilingnya dengan teliti. Di samping itu beliau mengumpulkan spesimen-spesimen yang kecil dan senang disimpan. Dari Amerika Selatan beliau belayar ke utara Pulau Galapagos. Beliau dapat melihat adanya persamaan antara burung-burung di Pulau Galapagos dengan burung-burung di Amerika Selatan yang jaraknya kurang lebih 600 batu. Ketika beliau kembali ke England pada tahun 1837, banyaklah masalah yang menjadi persoalan dan memulakan dengan penyelidikan dan tulisan-tulisannya secara senyap. Masyarakat di kurun ke 17 percaya bahawa bumi ini terbentuk pada kira-kira 4000 tahun sebelum zaman Kristian. Masa tersebut terlalu singkat untuk proses evolusi boleh berlaku dan menghasilkan beraneka ragam kehidupan.



            Darwin menegaskan, kesemua makhluk yang hidup sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama (common ancestor). Keturunan yang awal ini kemudiannya berubah dari satu tahap ke tahap yang lain demi menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan-perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk yang kompleks yang bernama manusia. Beliau mengutarakan pendapatnya di dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859.[4]



Dalam teorinya juga, Darwin mengatakan : “Suatu benda (bahan) mengalami perubahan dari yang tidak sempurna menuju kepada kesempurnaan”. Kemudian beliau memperluaskan teorinya ini hingga sampai kepada asal-usul manusia. Menurutnya manusia sekarang ini adalah hasil yang paling sempurna dari perkembangan tersebut secara teratur oleh hukum-hukum mekanik seperti halnya tumbuhan dan haiwan. Kemudian lahirlah suatu ajaran (pengertian) bahawa manusia yang ada sekarang ini merupakan hasil evolusi dari monyet besar (manusia monyet berjalan tegak) selama bertahun-tahun dan telah mencapai bentuk yang paling sempurna.



            Dalam hal ini Darwin sendiri kebingungan kerana ada beberapa jenis tumbuhan yang tidak mengalami evolusi dan tetap dalam keadaan seperti semula. Walaupun pernyataan Darwin dalam bukunya yang berjudul “The Origin of Species” dapat dikatakan kejayaan besar kerana membahas masalah yang menyangkut asal usul manusia, namun hal ini hanyalah bersifat dugaan belaka. Hal ini di antaranya merupakan kelemahan teori yang dikemukakan oleh Darwin. Tidak ada titik temu antara teori yang ada dengan kenyataan. Sebagai contoh, para ahli zoologi sangat akrab dengan suatu species yang bernama panchronic yang tetap sama sepanjang masa. Juga ganggang biru yang diperkirakan telah ada lebih dari satu milyar tahun namun hingga sekarang tetap sama. Yang lebih jelas lagi adalah haiwan sejenis biawak atau komodo yang telah ada sejak berjuta-juta tahun yang lalu dan hingga kini tetap ada.[5]



            Dalam teorinya Darwin berpendapat bahawa manusia berasal dari perkembangan makhluk sejenis kera yang sederhana kemudian berkembang menjadi haiwan kera tingkat tinggi sampai akhirnya menjadi manusia. Makhluk yang tertua yang ditemukan dengan bentuk mirip manusia adalah Australopithecus yang diperkirakan umurnya antara 350.000 – 1.000.000 tahun dengan ukuran otak sekitar 450 – 1450 cm3. Perkembangan dengan perubahan volume otak ini besar pengaruhnya bagi kecerdasan otak manusia. Australopithecus yang mempunyai volume otak rata-rata 450 cm3 berevolusi menjadi manusia kera (Neandertal) yang mempunyai volume otak 1450 cm3. Dari penelitian ini diperkirakan dalam waktu antara 400.000 – 500.000 tahun volume otak itu bertambah 1000 cm3. Tetapi anehnya perkembangan dari Neandertal ke manusia moden sekarang ini selama 100.000 tahun volume otaknya tidak berkembang. Teori ini tidak mengemukakan alasannya. Jadi dapat dikatakan bahawa teori yang dianggap ilmiah itu ternyata tidak mutlak kerana antara teori dengan kenyataan tidak dapat dibuktikan.[6]



PERNYATAAN HARUN YAHYA TENTANG TEORI EVOLUSI

Harun Yahya adalah seorang penulis yang amat dikenali sebagai seorang yang banyak menulis tentang penipuan golongan evolusionis, pembatalan dakwaan mereka dan hubungan antara Darwinisme dan beberapa ideologi berdarah seperti fasisme dan komimisme. Beliau dilahirkan di Ankara pada tahun 1956 dan menamatkan pendidikan rendah dan menengahnya di Ankara. Beliau mengikuti pengajian Seni di Universiti Mimar Sinan di Istanbul. Sejak tahun 1980 an beliau telah menerbitkan banyak buku-buku berkaitan isu-isu politik, keimanan dan sainstifik.



Menurut Harun Yahya, di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa manusia telah diciptakan dalam cara yang amat menakjubkan. Dalam proses penciptaan manusia pertama, Allah telah membentuk tanah kemudian menghembuskan roh ke dalamnya. Bukti-bukti di dalam al-Quran yang menunjukkan proses penciptaan manusia. Firman Allah dalam surah Shaad ayat 71-72 :

Ertinya : (Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia - Adam dari tanah;. " Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".



FirmanNya di dalam surah al-Mukminun ayat 12 :

Ertinya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;



FirmanNya lagi dalam surah ash-Shaaffaat ayat 11 :

öErtinya : Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): “Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?” Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat.


            Dari keterangan ini, kita dapat melihat bahawa manusia tidak diciptakan berasal daripada beruk (kera) atau makhluk hidup yang lain sebagaimana dakwaan evolusionis muslim, sebaliknya berasal dari tanah, iaitu unsur yang mati. Secara ajaib, Allah s.w.t menukarkan unsur mati tersebut menjadi manusia dengan meniupkan roh ke dalamnya. Jelas di sini, tidak terdapat sebarang peranan proses evolusi semulajadi melainkan keajaiban Allah dan penciptaan sekelip mata. Hakikatnya, ayat di bawah menggambarkan penciptaan manusia secara langsung. Firman Allah dalam surah Shaad ayat 75 :

t
Ertinya : Allah berfirman: " hai lblis! apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?"[7]



            Secara ringkas, al-Quran tidak mengandungi sebarang kisah evolusi dalam penciptaan manusia dan makhluk hidup yang lain. Sebaliknya, apa yang dinyatakan ialah Allah telah menciptakan kesemuanya dengan keajaiban daripada unsur-unsur mati seperti air dan lumpur. Meskipun sedemikian, sejarah Islam memperlihatkan segelintir individu muslim yang terpengaruh dengan falsafah Yunani kuno, materialis dan beberapa elemen evolusi yang kemudian berusaha menyerapkan aliran falsafah tersebut dengan kandungan al-Quran. Ulama dan mujaddid Islam terkenal, Imam al-Ghazali menjawab kecenderungan seperti ini yang mula muncul di zaman beliau di dalam sebuah buku bertajuk Tahafut al-Falasifah (Ketidaktelusan Ahli Falsafah) dan beberapa hasil karyanya yang lain. Walaupun begitu, seiring dengan penyebar-luasan teori evolusi sepanjang abad 19 dan 20, sejumlah tesis penciptaan melalui evolusi mula muncul kembali di dalam dunia Islam.[8]



            Panduan asas bagi individu yang beriman kepada Allah s.w.t dan percaya kepada Islam ialah al-Quran dan Sunnah (ajaran Nabi s.a.w). Al-Quran mengandungi banyak ayat penciptaan berhubung makhluk hidupan dan alam semesta. Tidak terdapat walau sebaris ayat yang memberi pembayang tentang penciptaan melalui evolusi. Dalam kata lain, al-Quran sama sekali tidak menyokong idea berhubung evolusi spesis hidupan daripada satu jenis menjadi jenis yang lain, atau sebarang kemungkinan wujudnya kaitan di antara mereka. Sebaliknya, al-Quran menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan hidupan dan alam semesta dengan keajaiban dengan hanya berkata “Jadilah!” Melihat kepada pelbagai penemuan saintifik yang turut membatalkan evolusi, sekali lagi keserasian antara al-Quran dan dunia sains menjadi semakin jelas.



            Dan suatu yang pasti, dengan kehendak Allah, Dia Maha Berkuasa menciptakan apa sahaja melalui proses evolusi. Namun al-Quran tidak pernah menyatakan hal sedemikian malah tidak terdapat walau sebaris ayat yang membenarkan dakwaan evolusionis mengenai perkembangan makhluk hidup melalui sesiri tertentu. Dan sekiranya benar penciptaan menuruti proses evolusi, maka kita dengan mudah pasti dapat meneliti maklumat tentangnya di dalam al-Quran. Walaupun sebenarnya hal ini telah diperjelaskan secara terperinci, namun masih wujud segelintir golongan muslim berfikiran ala-Darwinisme berusaha menyalah-tafsirkan beberapa ayat tertentu di dalam al-Quran dengan memberikan makna yang sama sekali bercanggah dengan makna yang terang dan jelas terkandung di dalamnya. Mereka bahkan, demi membela evolusi, sanggup mengambil bukti al-Quran dengan menyelewengkan beberapa ayat tertentu dengan menjadikan andaian dan prasangka sebagai kriteria penafsiran. Pun begitu, Allah s.w.t telah memaklumkan mengenai kewujudan golongan seperti ini di dalam surah Ali Imran ayat 78 :


Ertinya : Dan sesungguhnya, di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebagian dari Al Kitab, padahal ia bukan dari Al Kitab dan mereka mengatakan : “Ia (yang dibaca itu datang) dari sisi Allah”, padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.[9]



            Mereka yang mampu memahami al-Quran namun memutar-belitkan maksud asal ayat-ayat tersebut dan dengan sengaja menyalah-tafsirkannya jelas melakukan pendustaan terhadap Allah s.w.t. Hakikatnya, muslim yang sebenarnya tidak tergamak melakukan hal sedemikian memandangkan akibat buruk yang bakal ditanggung kelak. Dan atas dasar ini, setiap ulasan yang dibuat berdasarkan andaian dan spekulasi terutamanya yang dibuat oleh golongan evolusionis secara moralnya tidak boleh diterima. Melakukan tuduhan rambang secara umum kepada setiap golongan yang mendakwa keserasian antara evolusi dan ajaran adalah suatu kesalahan memandangkan terdapat antara mereka tidak berniat dengan apa yang dikatakan ataupun yang tidak menyedari bahaya yang tersembunyi. Namun begitu, apa yang ditekankan di sini ialah kesilapan yang dilakukan oleh mereka yang mengelirukan orang lain terhadap isi kandungan al-Quran dengan melontarkan dakwaan di atas nama agama Allah dan mencari bukti untuk mengesahkan evolusi melalui ayat-ayatNya yang suci. Golongan yang terlibat melakukan kesalahan seperti ini seharusnya mempertimbangkan semula usaha yang dilakukan mereka sekaligus menghindari diri dari usaha mengelirukan tafsiran kerana setiap apa yang mereka kerjakan kelak akan diminta pertanggungjawabannya di hadapan Allah s.w.t. Mereka pada hakikatnya bukan sekadar memperdayakan diri sendiri tetapi juga orang lain yang membaca tulisan mereka.



            Dasar persoalan yang dibincangkan ini adalah wujud segelintir individu muslim yang mempercayai evolusi sebagai sebuah kebenaran saintifik lalu mendekati al-Quran dengan usaha untuk mengesahkan evolusi melalui ayat-ayat kandungannya. Kemudian mereka menggunakan pelbagai perkataan yang dianggap menggambarkan tafsiran evolusi yang pada asasnya bercanggah dengan maksud asalnya yang sebenar. Apabila al-Quran diambilkira secara keseluruhan, atau apabila satu-satu ayat dibaca bersambungan dengan ayat yang ada sebelum atau selepasnya, kita dapat melihat bahawa penerangan-penerangan yang diberikan oleh golongan tersebut adalah dipaksa-paksa dan tidak sah.[10]



            Sebagai contoh ayat al-Quran yang dieksploitasi untuk mewajarkan evolusi sebagai suatu fakta yang sahih, surah Nuh ayat 13-14 :


Ertinya : "Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),. "Padahal sesungguhnya ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?



            Golongan yang menyokong penciptaan melalui evolusi menafsirkan perkataan “kejadian yang berperingkat-peringkat” sebagai beberapa tahap evolusi. Namun begitu, menafsirkan kalimah Arab, keadaan dengan maksud peringkat evolusi hanya sekadar pandangan peribadi dan tidak diterima pakai secara umum oleh semua ulama-ulama Islam. Muhammed Hamdi Yazir dari Mali dalam tafsirnya menterjemahkan ayat tersebut sebagai : “Dia telah menciptakan kamu peringkat demi peringkat melalui keadaan-keadaan tertentu.” Dalam huraiannya, beliau menggambarkan peringkat-peringkat ini sebagai tahap-tahap evolusi. Namun begitu, tafsiran sebegini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan teori evolusi, yang mendakwa asal usul manusia bermula dari jenis hidupan yang lain. Hakikatnya, setelah beliau menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan peringkat-peringkat tersebut :



            Menurut penjelasan yang diberikan oleh Ebus Suud mula-mula pelbagai jenis unsur, kemudian makanan, kemudian campuran, kemudian air mani, kemudian seketul daging, kemudian daging dan tulang, dan akhirnya terbentuk makhluk yang sama sekali berbeza.”Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.” (surah al-Mukminun ayat 14). Bukankah Allah Pencipta yang Maha Perkasa, yang patut dipuja dan diagungkan? Tidakkah Dia berkuasa mengangkatmu lebih jauh dengan bentuk dan penciptaan lain? Atau tidakkah Dia juga boleh menghancurkanmu dan melemparkanmu ke dalam siksaan yang pedih? Mengapakah kamu tidak memikirkan kesemua perkara ini?[11]



            Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, ayat ini menggambarkan bagaimana seorang manusia sampai di rahim ibu sebagai setitis air mani dan berkembang sebagai embrio dan kemudiannya menjadi seketul daging kemudian bertukar daging dan tulang sebelum lahir ke dunia sebagai manusia.



            Dalam huraian Imam al-Tabrani, surah Nuh ayat 14 diterjemahkan sebagai “walhal Dia telah menciptakan kamu dengan peringkat-peringkat” dan ditafsirkan sebagai maksud berikut : “Kamu mula-mula berada dalam bentuk air mani, kemudian Dia telah menciptakan kamu dalam bentuk segumpal darah, kemudian menjadi seketul daging yang kecil.”



Omar Nasuhi Bilmen menterjemahkan ayat tersebut sebagai “Hakikatnya, Dia telah menciptakan kamu melalui pelbagai tahap” dan meneruskan penafsirannya sebagai berikut :

           

Dia (menciptakan)mu melalui pelbagai tahap. Kamu mula-mula sebutir benih dan kemudian segumpal darah. Kamu telah menjadi seketul daging dan memiliki tulang, kemudian kamu dilahirkan sebagai manusia. Bukankah kesemua peristiwa dan perubahan yang pelbagai dan menjadi pengajaran ini merupakan bukti yang terang kepada kewujudan, kekuasaan dan keagungan Tuhan Yang Maha Pencipta? Mengapakah kamu tidak berfikir tentang kejadian kamu sendiri?”[12]



            Seperti yang kita lihat di sini, ulama-ulama Islam bersetuju bahawa penafsiran bagi surah Nuh ayat 14 merujuk kepada proses yang melibatkan perkembangan manusia dari persenyawaan antara sperma dan ovum. Menafsirkan ayat-ayat sedemikian melalui pendekatan tersebut jelas menuruti prinsip “menafsirkan ayat-ayat al-Quran berpandukan ayat-ayat al-Quran yang lain” kerana di dalam ayat-ayat yang lain Allah telah menerangkan peringkat-peringkat kejadian penciptaan manusia di dalam rahim ibunya.



Berdasarkan kepada penjelasan dan penafsiran yang dibuat oleh ulama-ulama yang terkemuka berkenaan tafsiran surah Nuh ayat 13-14 itu, jelas menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran yang diturunkan Allah s.w.t penuh dengan keikhlasan tanpa terpengaruh dengan sebarang idea atau falsafah berkonsepkan bukan ajaran Islam. Pendekatan terhadap al-Quran seperti ini akan mendedahkan bahawa ia pada hakikatnya tidak mengandungi sebarang maklumat berhubung konsep penciptaan melalui evolusi. Sebaliknya, apa yang jelas kelihatan ialah Allah telah menciptakan mahkluk hidup termasuk kebendaan yang lain melalui sebuah perintah, “Jadilah!”. Sekiranya memang benar makhluk separuh beruk-separuh manusia telah wujud sebelum Nabi Adam as, maka keterangan mengenainya pasti ditemui dengan cara yang jelas dan senang difahami. Kenyataan bahawa al-Quran adalah sangat jelas dan mudah difahami, membuktikan dakwaan penciptaan melalui evolusi (asal usul kejadian manusia kepada makhluk hidup yang lain) adalah tidak benar dan jelas merupakan suatu kesilapan.



KEJADIAN MANUSIA MENURUT PERSPEKTIF BUDHHA
GENESIS BUMI DAN MANUSIA


Pada abad ke 19, Immanuel Kant dan La Place menyatakan teori kabut atau teori nebula tentang alam semesta. Teorinya disempurnakan oleh van Wizzacker (1994) dan G.P Kuiper (1951) menjadi teori kondensasi. Menurut teori ini, kabut gas dan debu terdiri dari helium dan hydrogen. Bahan kabut ini hilang ke dalam jagad raya dan sisanya terus mendingin. Disebabkan pendinginan, maka terus menyusut dan mulai berputar. Proses ini bentuknya berubah menjadi bulat pipih dan akhirnya menjadi seperti cakram. Selama menyusut dan berputar, bahan di bahagian luar tertinggal. Bahan ini merupakan pembentuk planet-planet, termasuk planet bumi. Vintinya menjadi matahari. Menurut teori ini, “alam jagad raya terdapat banyak sekali tata surya.”


            Konsep tentang kejadian bumi dan manusia menurut Budhha Dhamma agak unik. Di alam semesta ini bukan hanya ada bumi ini. Telah banyak bumi yang muncul dan hancur (kiamat). Manusia yang muncul pertama kali di bumi kita ini tidak seorang tetapi banyak dan mereka muncul bukan kerana kemahuan satu makhluk tertentu. Di dalam Agama Sutta, Digha Nikaya, Sutta Pitaka, Tipitaka dapat dibaca bahawa bumi kita ini semuanya terdiri dari air dan gelap gelita. Makhluk-makhluk pun tidak dibezakan lelaki atau perempuan. Namun, mereka memiliki tubuh yang bercahaya dan hidup melayang-layang di angkasa. Setelah waktu lama sekali, tanah dengan sarinya muncul dari dalam air dan rasanya seperti madu tawon mumi. Makhluk-makhluk yang serakah mulai mencicipi tanah itu dan tergiur akan sari tersebut. Makhluk-makhluk yang lain juga mengikuti.



            Akibat kelakuan itu, maka cahaya tubuh mereka lenyap dan nampaklah matahari, bulan, bintang dan konstelasi-konstelasi. Setelah masa yang lama sekali, tubuh mereka memadat dan bentuknya ada yang indah dan ada yang buruk sesuai dengan takaran mereka makan sari tanah. Mereka yang indah memandang rendah yang bentuk tubuhnya buruk. Lama kelamaan sari tanah pun lenyap dan muncullah tumbuhan dari tanah. Sementara mereka sombong dan bongkak, tumbuhan ini lenyap dan muncul tumbuhan menjalar, dan demikian seterusnya setelah tumbuhan menjalar lenyap, muncullah tanaman padi. Setelah waktu yang lama sesuai dengan takaran mereka makan, maka tubuh mereka lebih memadat dan perbezaan bentuknya nampak lebih jelas.[13]


KEJADIAN MANUSIA MENURUT HINDU


Setelah alam semesta tercipta, barulah Tuhan mencipta isinya seperti haiwan, tumbuhan dan manusia. Proses penciptaan manusia adalah sari dari panca maha bhuta iaitu enam jenis rasa seperti manis, pahit, masin, masam, pedas dan kelat. Semua unsur ini telah berpadu dengan unsur lain iaitu cita, budi, ahangkara, dasendria, panca tanmatra dan panca mahabhuta.

            Sebatian ke semua unsur ini telah menghasilkan dua unsure benih kehidupan iaitu sukla (benih lelaki) dan swanita (benih perempuan). Yang demikian, maka terciptalah manusia. Manusia pertama ciptaan Tuhan dalam ajaran agama Hindu ialah Syayambhumanu yang bermaksud makhluk berfikir yang mengembangkan dirinya sendiri. Manu maknanya berfikir. Dari akar kata Manu timbul kata manusia yang bermaksud keturunan Manu. Selanjutnya, setelah menusia pertama tercipta atas kehendak Tuhan, maka manusia itu sendirilah yang berkembang. Dahulu kala Prajapati mencipta manusia bersama Bhakti persembahannya dan berkata dengan ini engkau akan berkembang biak dan biarlah dunia ini menjadi sapi perahanmu. (Bhagavad-Gita iii Sloka 10).[14]



KESIMPULAN

            Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t kerana dikurniakan akal fikiran. Sebagai manusia, kita seharusnya bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan daripada Pencipta yang Maha Esa. Setiap kejadian atau penciptaan ada kepentingannya, sebagai contoh manusia yang dicipta oleh Allah s.w.t dipertanggungjawabkan untuk memakmur dan mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya. Melalui akal fikiran yang dikurniakan Allah, manusia boleh melakukan sesuatu dengan rasional berbanding makhluk yang lain di muka bumi ini.


            Jelas di sini bahawa Allah s.w.t telah menciptakan manusia, semua makhluk yang hidup atau yang tidak hidup serta alam semesta. Setiap sesuatu yang terperinci di dalam alam semesta ini adalah satu bukti bagi penciptaanNya. Hakikatnya, tidak terdapat sebarang hujah bagi teori evolusi dan teori-teori yang lain melainkan sebuah kepercayaan individu dan pendapatnya sendiri. Sehingga kini, teori Darwin masih lagi dipertikaikan oleh segelintir masyarakat kerana mengikut teori beliau manusia adalah gabungan kera tetapi realitinya kera itu adalah haiwan sedangkan manusia adalah individu yang tersendiri sebagaimana yang telah dihuraikan asal-usul kejadian dan proses penciptaannya seperti yang diceritakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.



[1] http://www3.uitm.edu.my/citu/SM/IMK102.pdf
[2] http://www3.uitm.edu.my/citu/SM/IMK102.pdf
[3] Muhammad Ariffin, Abdul Rahman Awang, Abdul Razak Bachik (1993). Pendidikan Syariah Islamiyah Tingkatan Empat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka h.33-34
[4] Dr. Danial Zainal Abidin (2010). Quran Saintifik. hlm 90.
[5] http://fkejadianmanusia.blogspot.com/
[6] http://fkejadianmanusia.blogspot.com/
[7] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran. hlm 92
[8] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran hlm 92-93
[9] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran hlm 96-97
[10] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran hlm 97
[11] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran hlm 99
[12] Harun Yahya (2003). Percanggahan Darwinisme Terhadap Al-Quran hlm 100
[13] http://fkejadianmanusia.blogspot.com/
[14] http://www.scribd.com/doc/46591895/Teori-Kejadian-Manusia-Aku-n-Ema