Sabtu, 31 Mac 2012

JOM KITA KE PUSAT SUMBER SK SAPINTAS

DEFINISI PSS

Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah satu tempat terkumpulnya berbagai-bagai alat dan bahan media pendidikan yang dikelaskan, dikatalogkan dan di susun atur bagi memudahkan pengguna. Ia juga adalah tempat untuk warga sekolah berkumpul, berunding, memilih, merencana, menerbit dan menggunakan alat pengajaran dan pembelajaran.

Pusat sumber sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematik. Ia juga sebuah tempat bagi memperoleh, mengumpul dan membina maklumat baru supaya dapat dimanafaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran.


MATLAMAT PSS

1.  Meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

2.  Membantu meningkatkan tahap profesionalisme guru-guru supaya lebih berilmu,  
     dinamik, kreatif dan inovatif.

3.  Membentuk golongan murid yang berilmu, dinamik, kreatif dan berdisiplin serta
     mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.


OBJEKTIF PSS

1.  Menyediakan bahan buku dan bukan buku bagi membantu guru dan murid melaksana
     kan proses pengajaran dan pembelajaran.

2.  Menyediakan bahan-bahan yang sesuai bagi memupuk minat membaca dan belajar
     sendiri dikalangan murid.

3.  Membantu guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang
     berkesan.

4.  Mewujudkan satu iklim atau suasana yang dapat menggalakkan perubahan sikap
     dikalangan guru dan murid. Kaedah pengajaran yang berbagai-bagai dan aktiviti
     pembelajaran yang berpusatkan murid.

5.  Memajukan kemahiran penyelidikan, penyiasatan dan mencari maklumat.

6.  Mengembangkan tabiat belajar sendiri, membaca dan menyiasat melalui sumber.

7.  Mengembangkan keyakinan diri kepada murid.


VISI PSS SK SAPINTAS

Sistem pengurusan Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Kebangsaan Sapintas yang cemerlang dan bersistematik setiap masa.


MISI PSS SK SAPINTAS

Dedikasi serta beriltizam menjadikan Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Kebangsaan Sapintas sebagai pusat penyebaran ilmu dan maklumat yang boleh digunakan oleh warga sekolah bagi mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta kecemerlangan sekolah.


AKTIVITI PSS SK SAPINTAS

1.   Program Nilam

2.   Pertandingan Buku Skrap

3.   Peraduan PSS

4.   Sambutan Bulan Merdeka

5.   Pameran

6.   Penghayatan Ramadhan

7.   Minggu Pusat Sumber Sekolah

8.   Pertandingan Bercerita

9.   Bulan Panitia-Panitia

10. Kempen Galakan Membaca

11. Taman Nilam

12. Laluan Ilmu

13. Sudut Bacaan Di Kelas-Kelas

14. Sudut Rekreasi Membaca

15. Taman Herba


PERKHIDMATAN PELANGGAN

1.  Perkhidmatan Perpustakaan

2.  Perkhidmatan Bahan Bantu Mengajar

3.  Perkhidmatan Laminating

4.  Perkhidmatan Mencetak dan Scanning

5.  Perkhidmatan Memotong dan Binding

6. Perkhidmatan Komputer dan Internet


JADUAL PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN

1.  Penggunaan perkhidmatan PSS mengikut jadual kelas yang telah ditetapkan

2.  Perkhidmatan pinjaman dan pemulangan buku beroperasi pada waktu rehat


PIAGAM PELANGGAN PSS

Kami guru-guru PSS penuh tekad dan iltizam berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk :

1.  Berkhidmat sebagai pusat bahan dan alatan yang boleh digunakan secara individu
     dan kumpulan dalam proses pengajaran dan pembelajaran

2.  Menyediakan kemudahan untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran

3.  Memberi panduan mencari, mengguna, menghasil dan menyebarkan maklumat
     selaras dengan keperluan kurikulum dan kokurikulum

4.  Berkhidmat sebagai agen perhubungan dan perkhidmatan maklumat lain seperti
     perpustakaan awam dan pejabat penerangan daerah.


Jom kita tinjau panorama PSS SK Sapintas.....






7 AMALAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W

7 amalan sunnah Rasulullah s.a.w ini bolehlah kita amalkan di dalam kehidupan seharian. Tidak dapat lakukan ke semuanya, amalkanlah yang mana kita mampu tetapi janganlah kita tinggalkan terus amalan sunnah ini. Kalau kita kaji dan teliti fadhilat (kebaikan) daripada amalan sunnah ini kita akan memperolehi ketenangan, kesabaran dan keharmonian di dalam kehidupan. Amalan yang berterusan akan mendatangkan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. 7 amalan sunnah Rasulullah s.a.w ialah :

1.  Solat Tahajjud

2.  Membaca al-Quran

3.  Solat berjemaah di masjid

4.  Solat Dhuha

5.  Sedekah setiap hari

6.  Menjaga wudhuk terus menerus

7.  Amalkan istighfar setiap saat


Renungkan  : Usah gelisah apabila dibenci manusia kerana masih banyak yang
                        menyayangimu di dunia tetapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana 
                        tiada lagi yang mengasihimu di akhirat.

KISAH IMAM AL-GHAZALI DENGAN ANAK MURIDNYA

Suatu hari ketika Imam Al-Ghazali berkumpul dengan anak-anak muridnya beliau mengajukan pertanyaan kepada mereka :

PERTANYAAN 1

Imam al-Ghazali   : Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Jawapan Murid 1 : Negeri China

Jawapan Murid 2 : Bulan

Jawapan Murid 3 : Matahari

Jawapan Murid 4 : Bintang-Bintang

Imam al-Ghazali  : Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran AGAMA.


PERTANYAAN 2

Imam al-Ghazali   : Apa yang paling besar di dunia ini ?

Jawapan Murid 1 : Gunung

Jawapan Murid 2 : Matahari

Jawapan Murid 3 : Bumi

Imam al-Ghazali  : Semua jawapan itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah al-A'raf ayat 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa kita ke NERAKA.


PERTANYAAN 3

Imam al-Ghazali   : Apa yang paling berat di dunia ?

Jawapan Murid 1 : Baja

Jawapan Murid 2 : Besi

Jawapan Murid 3 : Gajah

Imam al-Ghazali   : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah al-Ahzab ayat 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah s.w.t meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah s.w.t sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana GAGAL memegang amanah.


PERTANYAAN 4

Imam al-Ghazali   : Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Jawapan Murid 1 : Kapas

Jawapan Murid 2 : Angin

Jawapan Murid 3 : Debu

Jawapan Murid 4 : Daun-Daun

Imam al-Ghazali   : Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.


PERTANYAAN 5

Imam al-Ghazali  : Apa yang paling tajam sekali di dunia ini ?

Murid-murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam al-Ghazali  : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

GURU CEMERLANG MELAHIRKAN PELAJAR GEMILANG

Golongan ilmuan adalah salah satu aset yang berharga bagi sesebuah negara. Peranan ilmuan ini menjadi tanggungjawab yang penting bagi melahirkan generasi muda yang berpendidikan tinggi, berilmu dan berdaya saing. Mendidik manusia agar menjadi orang yang berpendidikan dan berilmu bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ianya memerlukan usaha yang berterusan dan kesabaran yang tinggi. Justeru, sewajarnyalah golongan guru ini diberi penghormatan yang tinggi oleh masyarakat.

Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan gemilang, guru hendaklah mendidik dan mengasuh pelajar dengan penuh bersemangat dan kesungguhan. Di samping itu juga guru hendaklah mengemaskini dan mempelbagaikan kaedah serta teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan kepada para pelajarnya. Mudah-mudahan dengan apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa sanubari pelajar-pelajarnya dan mereka mudah menerima dan mempelajari segala pelajaran yang mereka pelajari di sekolah. Selain daripada itu guru juga hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan semua pelajar di sekolahnya agar segala ajarannya akan memberi kesan kepada para pelajar. Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa pelajar melalui tiga peringkat :

1.  ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep)

2.  penerangan yang mendalam terhadap konsep itu

3.  perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi

Rasulullah s.a.w merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahir di zaman baginda sahabat-sahabat yang hebat seperti khuafa' Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan, Ali Abi Talib), Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya. Justeru, sememangnya guru yang cemerlang akan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan gemilang. Rasulullah s.a.w juga pernah menyebut bahawa golongan guru atau ilmuan seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan sama ada di darat dan di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan masa-masa yang akan datang, pembentukan adab dan budi pekerti perlu menjadi tonggak didikan kepada setiap pendidik dalam mendidik peribadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Oleh yang demikian, semua guru hendaklah menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan agar terbentuk dan lahir modal insan yang berpendidikan tinggi, berilmu pengetahuan dan berkemahiran seterusnya terbina sebuah tamadun yang cemerlang dan gemilang mengikut acuan Islam. Sesebuah negara akan mundur jika rakyatnya lemah dan malas.

ADAB MENUNTUT ILMU

Menuntut ilmu menjadi fardu ain kepada setiap individu Muslim. Di dalam menuntut ilmu memerlu kepada adab yang perlu dipatuhi dan diikuti oleh setiap manusia agar ilmu yang diperolehi itu diberkati oleh Allah s.w.t. Berikut ini adalah adab menuntut ilmu yang boleh dikongsi bersama :

Adab Kepada Allah s.w.t Yang Memberikan Ilmu

1.  Ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dalam menuntut ilmu.

2.  Sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

3.  Sentiasa menjaga ibadat seperti ibadat solat, puasa dan sebagainya.

4.  Sentiasa menjauhi segala dosa dan membanyakkan berbuat kebaikan.

5.  Tawaduk atau merendah diri.

Adab Kepada Guru Yang Menyampaikan Ilmu

1.  Menghormati guru semasa di hadapan atau di belakangnya.

2.  Memberi salam dan mengukir senyuman apabila bertemu dengan guru.

3.  Memberi tumpuan kepada guru semasa belajar.

4.  Tidak meninggikan suara di hadapan guru.

5.  Melakukan perkara yang disukai guru.

6.  Beradab dalam mengajukan pertanyaan kepada guru.

7.  Bersahabat dengan guru.

8.  Menerima teguran guru dengan berlapang dada.

9.  Tidak menceritakan perkara-perkara yang buruk tentang guru.

10. Berdoa untuk kebaikan guru.

Adab Kepada Ilmu Yang Dipelajari

1.  Bersemangat menuntut ilmu.

2.  Bersopan santun dalam menuntut ilmu.

3.  Hadiri kelas secara terus menerus (tidak ponteng).

4.  Memanfaatkan waktu dan tidak membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak
     berfaedah.

5.  Mencatat perkara-perkara penting yang dipelajari.

6.  Meletakkan buku di tempat yang dianggap mulia.

7.  Menjaga kebersihan diri, kelas dan kawasan sekitar.

8.  Memulakan dan mengakhiri pengajian dengan membaca doa.

Adab Murid Terhadap Guru Menurut Imam Al-Ghazali :

1.   Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan mencium tangan sebagai
      tanda penghormatan - ikut jantina

2.   Jangan banyak bercakap di hadapan guru

3.   Jangan bercakap jikalau tidak ditanya

4.   Jangan bertanya melainkan jikalau di arah oleh guru

5.   Jangan menyangkal kata-kata guru

6.   Jangan mengumpat pelajar lain

7.   Jangan berbisik di hadapan guru

8.   Jangan berpaling kiri dan kanan

9.   Jangan menyoal semasa guru kepenatan

10. Berdiri apabila guru bangun (ketika guru keluar dan masuk)

11. Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali

12. Rujuk guru dalam memilih ilmu

13. Jangan duduk tempat guru

14. Jangan berjalan di hadapan guru kecuali darurat

15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya

16. Sentiasa mendapat keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya

17. Muliakan anak-anak guru

18. Selalu berhubung dengan guru

19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.

20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu

Ahad, 25 Mac 2012

MAJLIS TADARUS AL-QURAN DAERAH SABAK BERNAM 2012

Majlis Tadarus Al-Quran Daerah Sabak Bernam 2012 telah diadakan secara berperingkat. MTQ sekolah-sekolah rendah daerah Sabak Bernam dibahagikan kepada 2 zon iaitu Zon A dan Zon B. Zon A terdiri daripada 20 buah sekolah yang mengambil bahagian iaitu di sekitar kawasan Sungai Besar, Pasir Panjang dan Sekinchan. Manakala Zon B terdiri daripada 18 buah sekolah yang mengambil bahagian di sekitar Sabak, Sungai Air Tawar dan Sekendi.

Sekolah Kebangsaan Sapintas termasuk dalam sekolah-sekolah rendah Zon B. Pihak sekolah di bawah Panitia Pendidikan Islam telah menghantar 6 orang wakil untuk menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran (lelaki dan perempuan), Hafazan (lelaki dan perempuan) dan Bercerita Kisah Nabi (lelaki dan perempuan).

Majlis Tadarus Al-Quran Zon B telah diadakan pada 21 Mac 2012 bersamaan dengan 28 Rabiulakhir 1433 H, hari Rabu bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Mawar, Sungai Air Tawar. Majlis tersebut telah bermula dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t, 4 orang peserta MTQ dari SK Sapintas telah berjaya memasuki peringkat akhir. Peserta-peserta MTQ tersebut ialah :

1.  Nurin Syazwani bt Abdul Karim  (Hafazan)

2.  Muhamad Aimi Wafi b Mohd Khamsani (Hafazan)

3.  Muhamad Asyiqul Khoir b Kasim (Tilawah)

4.  Intan Liyana bt Mohd Hanapi (Bercerita Kisah Al-Quran)

Untuk makluman semua, peringkat akhir Majlis Tadarus Al-Quran sekolah-sekolah daerah Sabak Bernam telah diadakan pada 22 Mac 2012 (Khamis) bertempat di SMKA Simpang Lima. Dalam majlis tersebut seramai 6 peserta (3 peserta terbaik dari Zon A dan 3 peserta terbaik dari Zon B) bertanding. Peserta yang mendapat Johan (tempat pertama) dari setiap bahagian akan mewakili daerah Sabak Bernam ke peringkat negeri Selangor yang akan diadakan pada 7 April 2012 bertempat di Petaling Perdana.

Walaupun peserta MTQ SK Sapintas tidak mendapat tempat pertama dalam bahagian yang dipertandingkan, namun alhamdulillah Nurin Syazwani bt Abdul Karim kategori hafazan perempuan telah mengharumkan nama sekolah dengan mendapat tempat ke 3 dengan pungutan markah 91%. Pihak sekolah mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha yang dilakukan oleh Nurin Syazwani dan gurunya. Mudah-mudahan tahun hadapan ramai lagi murid-murid dari SK Sapintas yang berjaya di dalam MTQ Daerah Sabak Bernam.

Bercerita Kisah Nabi Oleh Luqman

Bersemangat Intan Bercerita....tahniah...


Penyelia Kanan Pendidikan Islam Daerah Sabak Bernam
 Tn Hj Mohd Basri b Hj Sirat


berdebar-debar menunggu keputusan hakim


Tahniah Nurin Syazwani berjaya memasuki peringkat akhir
Naib Johan Hafazan Perempuan Peringakt Zon B

Tahniah Intan berjaya memasuki peringkat akhir MTQ
Tempat ke 3 Peringkat Zon B

Muhamad Aimi Wafi b Mohd Khamsani berjaya juga
memasuki peringkat akhir hafazan lelaki MTQ
Tempat ke 3 peringkat Zon B

Tempat Ke 3 Hafazan Perempuan
MTQ Sekolah-Sekolah Daerah Sabak Bernam
Tahniah Nurin Syazwani....


Khamis, 8 Mac 2012

ARKIB SEKOLAH

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Sapintas, Sabak Bernam Selangor Darul Ehsan telah diasaskan mengikut kepesatan pembangunan selepas meletusnya Perang Dunia Kedua dan bermula tahun 1945, yang telah dipelopori oleh Tuan Kiai Haji Marzuki bin Haji Ikhsan.

Beliau telah didorong oleh seorang Ketua Kampung yang berdedikasi. Bangunan sekolah yang mula dibina dari bahan nibung yang boleh didapati dari hutan berhampiran, yang hanya beratapkan nipah. Kedudukanbangunan sekolah pada ketika itu dibina di tapak bangunan masjid Batu 4 Sapintas. Tenaga pengajar pada masa itu gaji mereka dibayar oleh penduduk tempatan dan hanya mempunyai 15 orang murid sahaja.

Dalam tahun 1951, sekolah ini telah diiktiraf oleh kerajaan. Pada tarikh 6 Ogos 1954, seorang guru besar lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim telah ditempatkan di sekolah ini. Jumlah murid ketika itu seramai 70 orang dan dua bilik darjah sahaja. Mulai dari tarikh itu sekolah ini telah ditadbir dan mendapat bantuan sepenuhnya dari kerajaan dan telah berpindah ke tapak bangunan sekarang di bawah rancangan RIDA. Pada tahun 1965 Sekolah Kebangsaan Sapintas telah mendapat peruntukan sebuah bangunan batu dan telah dirasmikan pada 18 Julai 1968 oleh Yang Berhormat Encik Mohamad Khir Johari sebagai Menteri Pelajaran ketika itu.
MATLAMAT SEKOLAH

Melahirkan pelajar yang cemerlang, berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

OBJEKTIF SEKOLAH
  1. Membimbing dan membentuk murid ke arah sahsiah dan personaliti yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
  2. Meninggikan taraf akademik murid ke arah kecemerlangan di samping membentuk murid menjadi masyarakat sihat dan cergas dalam akativiti kokurikulum.
  3. Menanamkan sifat penyayang, saling hormat-menghormati, toleransi, bersopan-santun di antara masyarakat sekolah khasnya dan luar amnya.
  4. Mengembangkan potensi murid dalam bidang kokurikulum selari dengan minat dan kebolehan murid.
  5. Memelihara budaya sekolah dan membendung kegiatan yang kurang sihat di kalangan murid.
  6. Memperlihatkan nilai-nilai murni untuk dicontohi, sesuai dalam pembentukan insan yang kamil.
  7. Menjalin hubungan yang baik dengan ibu bapa dan masyarakat.
  8. Memastikan persekitaran sekolah sentiasa ceria supaya dapat merangsang proses pengajaran dan pembelajaran.
  9. Melahirkan murid yang berinovetif dan kreatif untuk meningkatkan prestasi sekolah.

IKRAR GURU DAN KAKITANGAN

Bahawasanya kami Guru-guru dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan Sapintas,dengan ini berikrar dan berjanji sesungguh hati melaksanakan pendidikan yang berkualiti kepada anak didik kami dengan penuh amanah dan tanggungjawab ke arah kecemerlangan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

IKRAR MURID 

Bahawasanya     kami,  murid  Sekolah Kebangsaan Sapintas, dengan ini berikrar dan berjanji, akan menjadi seorang   murid   yang  patuh  kepada Allah, undang-undang dan peraturan    sekolah.    Kami    juga   berjanji    akan belajar bersungguh-sungguh, tidak membuang masa, menjaga nama baik sekolah, menghormati guru-guru serta rakan-rakan.

SENARAI GURU BESAR-GURU BESAR

BIL
NAMA
TEMPOH
01
EN IBRAHIM B BAKIR
04.08.1951—09.06.1954
02
EN JAAFAR B MD YUSOF
20.06.1954—04.11.1955
03
EN MOHD THANI B LAMSAH
06.11.1955—31.01.1957
04
EN YAHYA B AB RASHID
01.02.1957—30.01.1959
05
TN HJ SUBARI B HJ TAHIR
01.02.1959—03.02.1962
06
EN MOHD NASIR B BUSU
01.01.1964—30.12.1968
07
EN ABD JALIL B OTHMAN
01.01.1969—31.12.1972
08
EN MOHD YUNUS B MAT JIDIN
01.01.1973—31.12.1979
09
EN MAT RAUS @ MD ARIF B HJ TAIB
01.01.1980—31.12.1983
10
EN ISMAIL B HJ ABD KARIM
01.01.1984—15.09.1987
11
EN SULAM B ANUAR
01.10.1987—15.06.1991
12
EN MOHD MUNAWAR B HJ AB KARIM
27.06.1991—14.01.1992
13
EN MAT IDRIS B MOHAMAD
15.01.1992—30.11.1992
14
EN ABDUL SAMAD B IDRIS PJK
01.12.1992—04.07.1998
15
EN MD ZUBIR B SUKARTHI
05.07.1998—19.06.2000
16
TN HJ MOHD HANAFIAH B HASSAN
16.07.2000—06.02.2007
17
EN SAMUDI B AHMAD
16.02.2007—02.08.2007
18
EN HAMZAH B ABDUL SAMAD
16.09.2007—31.01.2009
19
EN MEGAT PAUZI B IBRAHIM
   01.02.2009-15.12.2010
20
PN HJH NOR AYEZATI BT AWANG
  16.12.2010-

LAGU SEKOLAH

SKS sekolah ku,

                                         Tempat kami menimba ilmu,                                            

Belajar dan berguru,

Capai matlamat yang satu.

Wawasan negara

Kami pertahankan,

Demi maruah bangsa,

Warga yang sempurna,

 Kami perjuangkan,

SKS terus berjaya.

Ilmu Penyuluh Hidup,

Cogan kata yang terpuji,

Semoga dirahmati,

SKS terus berbakti.


Lagu dan Senikata:

 Ahmad Zaki Basar