Sabtu, 31 Mac 2012

GURU CEMERLANG MELAHIRKAN PELAJAR GEMILANG

Golongan ilmuan adalah salah satu aset yang berharga bagi sesebuah negara. Peranan ilmuan ini menjadi tanggungjawab yang penting bagi melahirkan generasi muda yang berpendidikan tinggi, berilmu dan berdaya saing. Mendidik manusia agar menjadi orang yang berpendidikan dan berilmu bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ianya memerlukan usaha yang berterusan dan kesabaran yang tinggi. Justeru, sewajarnyalah golongan guru ini diberi penghormatan yang tinggi oleh masyarakat.

Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan gemilang, guru hendaklah mendidik dan mengasuh pelajar dengan penuh bersemangat dan kesungguhan. Di samping itu juga guru hendaklah mengemaskini dan mempelbagaikan kaedah serta teknik pengajaran dan cara penyampaian ilmu yang berkesan kepada para pelajarnya. Mudah-mudahan dengan apa yang diajarkan akan meresap ke dalam jiwa sanubari pelajar-pelajarnya dan mereka mudah menerima dan mempelajari segala pelajaran yang mereka pelajari di sekolah. Selain daripada itu guru juga hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan semua pelajar di sekolahnya agar segala ajarannya akan memberi kesan kepada para pelajar. Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa pelajar melalui tiga peringkat :

1.  ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep)

2.  penerangan yang mendalam terhadap konsep itu

3.  perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi

Rasulullah s.a.w merupakan seorang pendidik yang cemerlang sehingga lahir di zaman baginda sahabat-sahabat yang hebat seperti khuafa' Ar-Rasyidin (Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan, Ali Abi Talib), Abdul Rahman bin A'uf, Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas dan sebagainya. Justeru, sememangnya guru yang cemerlang akan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan gemilang. Rasulullah s.a.w juga pernah menyebut bahawa golongan guru atau ilmuan seumpama bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan di lautan. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini adalah seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk bagi menerangi kegelapan sama ada di darat dan di lautan. Apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah petunjuk."

Bagi memastikan budaya hormat-menghormati, kasih-mengasihi sesama manusia dan segala sifat terpuji diamalkan oleh generasi muda masa kini dan masa-masa yang akan datang, pembentukan adab dan budi pekerti perlu menjadi tonggak didikan kepada setiap pendidik dalam mendidik peribadi manusia. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

"Muliakanlah anak-anak kamu dan perelokkanlah budi pekerti mereka."

Oleh yang demikian, semua guru hendaklah menggembeling tenaga, bagi menyemai benih keimanan dan ketaqwaan agar terbentuk dan lahir modal insan yang berpendidikan tinggi, berilmu pengetahuan dan berkemahiran seterusnya terbina sebuah tamadun yang cemerlang dan gemilang mengikut acuan Islam. Sesebuah negara akan mundur jika rakyatnya lemah dan malas.

Tiada ulasan: