Sabtu, 3 Mac 2012

PROGRAM NILAM

NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) merupakan penggabungan atau aduan ke semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Program Nilam ini telah bermula dilaksanakan dengan Tahun 1 di sekolah rendah, Tingkatan 1 dan peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada tahun 1999. Mengikut surat pekeliling ikhtisas bil. 13/1998 bertarikh 22 Mei 1998; pelaksanaan Program Nilam yang mewajibkan semua sekolah di Malaysia menjalankan Program Nilam. Langkah pemantapan budaya membaca dalam kalangan murid-murid sekolah ini juga diperkukuhkan lagi melalui surat pekeliling ikhtisas bil.1/2005 bertarikh 12 Mei 2005; Memantapkan Budaya Membaca di Kalangan Murid Sekolah.

Program Nilam ini merupakan satu strategi untuk menanamkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia khususnya murid sekolah sehingga wujudnya tabiat membaca dan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia. Objektif Program Nilam ini adalah :
  1. Menjadikan murid banyak membaca. Pembacaan melibatkan semua genre, bahan yang berkualiti dan tidak terkongkong kepada pembacaan yang berorientasikan peperiksaan sahaja.
  2. Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.
  3. Melahirkan tokoh murid yang berketrampilan dalam pembacaan, mempunyai sifat kepimpinan, berani berhadapan dengan khalayak, berkeyakinan tinggi dan berpengetahuan luas.
  4. Melahirkan lebih ramai golongan pelajar yang cintakan bahan bacaan, menjadikannya sebagai satu budaya dan menjadi 'role model' kepada rakan-rakan sebaya yang lain.
  5. Menjadi pemangkin terhadap budaya membaca dalam masyarakat.
Program Nilam ini mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penyertaan murid dan penggunaan bahan dalam aktiviti galakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP). Pada tahap JAUHARI semua murid diwajibkan mengikuti aktiviti galakan membaca yang dirancang dan dijalankan oleh Pusat Sumber Sekolah sepanjang tahun. Murid-murid diberi kemudahan meminjam buku melalui Pusat Sumber Sekolah untuk aktiviti galakan membaca yang dijalankan. Murid-murid diberi pengiktirafan berdasarkan jumlah bacaan buku yang dibaca.

 Sistem Ganjaran Tahap Jauhari Sekolah Rendah
Jumlah Bacaan / Buku
Pengiktirafan
90  -  179
Gangsa
180  -  269
Perak
270  -  359
Emas
360 ke atas
NILAM

Tahap kedua iaitu Tahap RAKAN PEMBACA (RP), memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Murid-murid yang telah membaca sebanyak 100 buah buku di tahap Jauhari, layak memasuki tahap Rakan Pembaca (RP). Walau bagaimanapun aktiviti tahap Jauhari masih lagi diteruskan. Pengiktirafan Rakan Pembaca adalah seperti berikut :

Sistem Ganjaran Tahap Rakan Pembaca
Markah
Pengiktirafan
100  -  199
Gangsa
200  -  299
Perak
300  -  399
Emas
400 ke atas
NILAM

Kesimpulannya, Program Nilam adalah satu pendekatan yang memberi peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri membentuk tabiat membaca. Pelaksanaan program secara sistematik disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan. Ianya juga dapat dijadikan sumber rujukan bagi pihak-pihak yang berminat mengkaji atau menjadikannya sebagai contoh untuk dilaksanakan.

















Tiada ulasan: