Khamis, 21 Jun 2012

PEMBACA PALING BANYAK PROGRAM NILAM

Program Nilam telah berjalan seperti biasa setiap tahun. Bagi tahun 2012, sehingga 30 April Pusat Sumber Sekolah telah memperolehi data bagi kategori pembaca paling banyak daripada guru mata pelajaran Bahasa Melayu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada murid yang berjaya membaca buku paling banyak. Berikut adalah pembaca yang paling banyak dalam Program Nilam 2012 (Tahap Jauhari) sehingga 30 April :

TAHUN 1 BAIDURI
NUR AIN NADHIRAH BINTI MOHD ZAIDI
JUMLAH BUKU : 14 BUAH
PENCAPAIAN : BELUM MENCAPAI TAHAP

TAHUN 2 TOPAZ
SITI AIESYA UMAIRAH BINTI ZAINUR RIZAL
JUMLAH BUKU : 89 BUAH
PENCAPAIAN : BELUM MENCAPAI TAHAP

TAHUN 3 KECUBUNG
MOHAMAD AFIQ BIN MOHD ZAIDI
JUMLAH BUKU : 334 BUAH
PENCAPAIAN : EMAS

TAHUN 4 NILAM
NUR HAAZIMAH BINTI JAFRI
JUMLAH BUKU : 590 BUAH
PENCAPAIAN : NILAM

TAHUN 5 DELIMA
MUHAMMAD SYARIFUL HIDAYAT BIN KASSIM
JUMLAH BUKU : 386 BUAH
PENCAPAIAN : NILAM

TAHUN 6 ZAMRUD
NURUL SYAHIRAH BINTI NORAZMI
JUMLAH BUKU : 578 BUAH
PENCAPAIAN : NILAM

Ahad, 17 Jun 2012

DR YUSUF AL-QARADAWI

1.0              PENGENALAN

Professor Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi adalah seorang cendekiawan Islam dari Mesir yang terkenal. Beliau juga seorang tokoh sarjana Islam yang terkenal pada abad ini. Beliau adalah pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau merupakan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars). Beliau juga adalah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradawi.


2.0              RIWAYAT HIDUP

Nama penuh Yusuf al-Qaradawi ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Beliau dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra negeri Gharbiah, Mesir. Yusuf al-Qaradawi lahir pada 9 September 1926 bersamaan dengan 1344 Hijrah. Al-Qaradawi adalah nama keluarganya dan nama ini diambil daripada sebuah daerah yang bernama al-Qardhah dan dinisbahkan kepada keturunannya. Berhampiran dengan kampung beliau itu terletaknya makam sahabat nabi yang telah meninggal dunia di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi pada tahun 86 Hijrah.


            Keluarga Yusuf al-Qaradawi berasal daripada keluarga yang kuat pegangan agamanya. Bapa beliau bekerja sebagai petani dan keluarga sebelah ibu beliau bekerja sebagai peniaga. Bapa Yusuf al-Qaradawi telah meninggal dunia ketika beliau berusia 2 tahun. Kemudian beliau dipelihara oleh bapa saudaranya yang bernama Ahmad. Yusuf al-Qaradawi dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan mendapat keistimewaan dalam keluarga. Ketika berusia 5 tahun, beliau dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafal al-Quran. Beliau seterusnya belajar di sekolah rendah iaitu Madrasah Ilzamiyyah yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Mesir ketika menjangkau usia 7 tahun. Beliau mempelajari Matematik, Sejarah, Kesihatan dan lain-lain di sekolah tersebut. Sejak kecil lagi, beliau telah mendapat pendidikan secara formal melalui sekolah kerajaan di sebelah pagi dan pendidikan agama (al-Kuttab) di sebelah petang.


            Yusuf al-Qaradawi berjaya menamatkan hafalan al-Quran sepenuhnya bersama pelajaran hukum-hukum tajwid sebelum mencapai usia 10 tahun. Sejak kecil lagi beliau bercita-cita hendak belajar di al-Azhar dan menjadi salah seorang daripada sarjana Islam. Beliau juga telah menunjukkan ciri-ciri sarjana Islam sejak kecil lagi. Bakat beliau terserlah apabila sering dipanggil menjadi imam dan syarahan agama di masjid kampungnya. Setelah tamat belajar di Madrasah Ilzamiyyah, Yusuf al-Qaradawi melanjutkan pelajaran ke Maahad Rendah Tanta (Madrasah Ibtida’ittah) selama 4 tahun dan di Maahad Menengah (Madrasah Thanawiyyah) selama 5 tahun. Maahad ini terletak di bawah penguasaan al-Azhar. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar. Pada tahun 1952/1953 beliau telah menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin dan menjadi pelajar terbaik daripada 180 orang mahasiswa.


            Yusuf al-Qaradawi kemudiannya telah mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama 2 tahun dan beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama. Pada tahun 1957, beliau seterusnya menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi Diploma Bahasa Arab dan Sastera. Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar sebagai calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadis dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1960. Beliau seterusnya memperolehi Ph.D dalam fiqh al-Zakat pada tahun 1973. Kelewatan memperolehi Ph.D ini disebabkan keadaan politik Mesir yang cukup gawat ketika itu sehingga beliau terpaksa menangguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Tesis beliau mendapat pujian dan menjadi kebanggaan majoriti sarjana Islam termasuklah al-Mawdudi dan Muhammad Mubarak.


3.0              GURU-GURU DAN MURID-MURID YUSUF AL-QARADAWI

Seperti Imam Syafie dan Imam al-Ghazali, Professor Dr Yusuf al-Qaradawi juga mempunyai ramai guru. Antara guru-guru beliau ialah :

1.       al-Bahi al-Khuli

2.      Syeikh Mahmud al-Diftar

3.      Syeikh Mutawalli Sya’rawi

4.      Syeikh Muhammad Abu Zahrah

5.      Syeikh Sayyid Sabiq

6.      Syeikh Abdul Qadir Audah

7.      Syeikh Mahmud Syautub

8.      Muhammad Mukhtar Badir

9.      Muhammad Amin Abu al-Raus

10.  Syeikh Abdul Halim Mahmud

11.  Muhammad Ahmadain

12.  Abu Hamid al-Sazali

13.  Salih Ashraf al-Isawi

14.  Muhammad Yusuf

15.  al-Syafi’I al-Zawahiri

16.  Dr. Muhammad Ghalab

17.  Tayyib al-Najjar


            Yusuf al-Qaradawi juga mempunyai anak murid. Antara anak murid beliau ialah Sheikh Dr ‘Ali Mahyuddin Qargakhi, Dr Rejab Abu Milih, Muhammad al-Ghazali.


4.0       BUKU-BUKU DAN SUMBANGAN YUSUF AL-QARADAWI

Yusuf al-Qaradawi adalah seorang professor yang diiktiraf sebagai pemikir Islam dan ulama kontemporari. Ini adalah kerana beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang fiqh, usul fiqh, dakwah Islamiah, gerakan Islam, ekonomi, sastera dan pemikiran. Selain daripada itu beliau juga terkenal sebagai ulama yang membawa manhaj atau metodologi pemikiran yang unik dan agak berbeza daripada sarjana Islam moden yang lain. Pendekatan wasatiyahnya membuatkan pendapat beliau mudah diterima dan berdasarkan pendekatan ini beliau mampu menulis ratusan buku dalam pelbagai bidang ilmu Islam yang tersebar di seluruh dunia. Pemikiran al-Qaradawi dalam fiqh dapat dilihat melalui karyanya tentang permasalahan fiqh, persoalan isu semasa umat Islam, keperluan kepada ijtihad kontemporari dan persoalan mengenai fatwa.


Penulisan serta kajian Yusuf al-Qaradawi banyak diterbitkan di dalam jurnal dan majalah. Antara buku-buku beliau ialah :

1.      Madkhal li dirasat al-Syariah al-Islamiyyah

2.      ‘Awamil al-Si’ah wa al-Murunah fi al-Shari’ah al-Islamiyyah

3.      Shari’ah al-Islam Salihah li al-Tatbiq Kul Zaman wa Makan

4.      Fi Fiqh al-Alawiyyat

5.      Alawiyyat al-Harakat al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah

6.      al-Ijtihad fi al-Shari’ah al-Islamiyyah ma’a Nazarat Tahliliyyah fi al-Ijtihad al-Mu’asir

7.      al-Halal wa al-Haram fi al-Islam

8.      Malamih al-Mujtama’ al-Muslim alladzi nansyuduh

9.      Musykilah al-faqr wa kayf ‘alajaha al-Islam

10.  al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-juhud wa al-tatarruf

11.  Al-Iman wa al-Hayat

12.  Wujud Allah

13.  Hakikat al-Tauhid

14.  Al-Iman bi al-Qadar

15.  Fusul fi al-Akidah bayn al-salaf wa al-khalaf

MARI KENALI IMAM AL-GHAZALI

1.0              PENGENALAN
Pada zaman pemerintahan kerajaan Dinasti Saljuk, lahir seorang intelek Islam yang sangat masyhur khususnya semasa pemerintahan Sultan Malik Shah (465H). Walaupun beliau lahir dari keturunan yang sangat miskin, namun berkat kegigihan dalam meneroka ilmu pengetahuan beliau telah menjadi seorang yang “kaya raya”. Cendekiawan ulung yang dimaksudkan ialah Hujjat al Islam Zaynuddin Imam al Ghazali al Syafie. Kemasyhurannya sangat dikagumi sehingga ke hari ini bukan sahaja di kalangan dunia Islam bahkan juga dunia barat. Beliau telah berani melakukan pembaharuan yang drastik terhadap pemikiran umat Islam di zamannya, dengan tujuan mengubah kepercayaan dan iktikad mereka yang sesat pada ketika itu khususnya dalam ilmu Falsafah, Tasawuf dan Kalam. Nama Imam al-Ghazali disebut-sebut sebagai seorang sarjana Islam yang telah berjaya menguasai pelbagai ilmu pengetahuan seperti ilmu Usuluddin, Fekah, Kalam, Hadith, Sosiologi, Falsafah, Pendidikan dan sebagainya. Dengan keistimewaan yang dimilikinya, tidak hairanlah Imam al-Ghazali dinobatkan sebagai “ensiklopedia” pada zamannya.


2.0              RIWAYAT HIDUP

Nama Imam al-Ghazali ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al Tusi al Syafie. Beliau lebih terkenal dengan panggilan al-Ghazali. Imam al-Ghazali dilahirkan pada pertengahan kurun ke 5 H iaitu pada tahun 1058 Masehi bersamaan tahun 450H di sebuah kampung yang bernama Ghazalah iaitu di pinggir kota kecil Thus dalam wilayah Khurasan di utara negara Iran. Panggilan kepada beliau “Abu Hamid” yang bermaksud “bapa kepada Hamid” adalah gelaran khusus beliau setelah beliau berumahtangga dan mendapat cahaya mata putera yang bernama Hamid. Imam al-Ghazali telah dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelaki tunggalnya yang bernama Hamid telah kembali ke rahmatullah ketika usianya masih kecil lagi. Beliau berketurunan Parsi dan sangat sinonim dengan gelaran Hujjat al Islam, Zaynuddin, al Tusi dan al Faqih al Syafie.


            Imam al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir, ahli falsafah Islam yang terkemuka yang banyak memberi sumbangan bagi perkembangan kemajuan manusia. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Kaunselor di Madrasah Nizhamiyah, pusat pengajian tinggi di Baghdad. Beliau juga adalah seorang ilmuan yang terkenal terutama dalam bidang fekah dan merupakan seorang juru dakwah yang tersohor. Beliau juga merupakan seorang ahli sufi dan pemidato yang sangat popular. Beliau memiliki kecerdasan akal yang tinggi, bijak bercakap dan berbahas serta berusaha meneliti setiap cabang ilmu yang dipelajarinya dengan bersungguh-sungguh. Di samping itu beliau juga merupakan salah seorang tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun ke 5 Islam tanpa ada khilaf di kalangan para ulama tentang taraf mujaddid beliau ini. Beliau telah meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 505H bersamaan 18 Disember 1111 Masehi ketika berusia 55 tahun di Thus.


3.0              GURU-GURU DAN MURID-MURID IMAM AL GHAZALI

Gurunya yang mula-mula dalam fiqh ialah Imam Abu Hamid Ahmad bin Muhammad Ar-Radzakani Ath-Thusi. Beliau belajar dengan gurunya itu semasa di Thus. Ketika di Jurjan Imam al-Ghazali berguru dengan Abu An-Nashr Al-Isma’ili dan ketika di Nisabur beliau belajar dengan gurunya yang bernama Imam Al-Haramain. Imam Al-Haramain Al-Juwaini merupakan guru Imam al-Ghazali yang paling terkenal yang dianggap sebagai ulama terkemuka dunia Islam waktu itu. Sewaktu di Thus dan Nisabur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fiqh dan syariah. Kemudiannya, beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelusuk dunia Islam ; ke Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah.


            Guru Imam al-Ghazali di dalam bidang tasawuf ialah Imam Az-Zahid Abu Ali Al-Fadhl bin Muhammad bin Ali Al-Faramadi Ath-Thusi. Manakala di akhir hayatnya Imam al-Ghazali belajar hadith dari sebahagian syeikh. Antaranya ialah Abi Sahl Al-Marwazi dan Muhammad bin Yahya Az-Zuzani. Di dalam bidang falsafah, beliau tidak mempunyai guru. Beliau mempelajari bersungguh-sungguh ilmu falsafah itu dari kitab-kitab tanpa meminta bantuan dengan guru. Beliau mempelajarinya ketika waktu terluang daripada mengarang dan mengajar. Beliau mempelajarinya dalam masa lebih kurang dua tahun.


            Imam al-Ghazali juga mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid beliau ialah Muhammad bin Yahya, Abu Bakar Ibnul Arabi, Muhammad bin Taumrut.



4.0              BUKU-BUKU DAN SUMBANGAN IMAM AL GHAZALI

Imam al-Ghazali termasuk salah seorang dari imam-imam yang banyak mempunyai karangan. Beliau telah meninggalkan banyak khazanah ilmu yang bernilai kepada seluruh umat manusia dan umat Islam khususnya iaitu dengan lebih 200 buah buku karyanya. Antara karya beliau yang masyhur ialah :

1.      Ihya’ Ulum al Din

2.      Al Munqidz min ad Dhalal

3.      Al Mustasfa min ‘ilm al Usul

4.      Tahafut al Falasifah

5.      Al-Wajiz

6.      Al-Basith

7.      Al-Wasith

8.      Al-Khulashah

9.      Maqasid al Falasifah

10.  Al-Mankhul

11.  Tanahir al Quran

12.  Mi’yar al ‘Ilm fi Fann al Mantiq



Sumbangan dan jasa Imam al-Ghazali terhadap dunia Islam sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Walaupun beliau telah lama meninggalkan alam ini, warisan ilmu dan karya-karyanya yang sangat berharga tetap menjadi ingatan yang masih segar untuk diabadikan oleh generasi selepasnya sehinggalah ke hari ini. Segala karya tulisan Imam al-Ghazali telah banyak menarik perhatian orang-orang di Eropah sehingga pelbagai hasil tulisan beliau telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Tulisan beliau tentang logic, psikologi dan metafizik merupakan karya beliau yang pertama kali menawan hati orang-orang Barat terutama di Sepanyol. Buku Maqasid al Falasifah telah diterjemah ke dalam bahasa Latin oleh Dominicus Gundissalimus dengan judul Logica et Philosophia al Ghazali pada tahun 1145 M. Imam al-Ghazali juga telah meninggalkan sumbangan yang berharga dengan mengubah mentaliti umat Islam kembali ke landasan yang sebenar. Sumbangan beliau tersebut dikategorikan seperti berikut[1] :

1.     Beliau berjaya menyedarkan manusia daripada mengejar teori-teori perdebatan, ilmu Fekah dan Logik serta perbezaan aliran mazhab kepada menumpukan perhatian kehidupan yang sebenar dan menghayati agama, kitab Allah dan as Sunnah atau dengan kata lain kembali kepada roh agama dan intinya, bukan kepada kulit dan selaputnya.

2.     Al-Ghazali menerusi nasihat-nasihat, perbincangan etikanya serta perbahasan kejiwaannya telah memulihkan dan mengetengahkan semula unsur “takut”. Dalam bukunya al Munqidh min al Dhalal beliau menekankan perlu dicetuskan perasaan takut dan bimbang dalam diri kerana keadaan tidak sesuai lagi untuk bersikap lembut, mengambil hati dan lunak terhadap mereka. Perasaan takutkan neraka perlu ditanam sebagai dorongan utama untuk mencapai hidayah Allah dan menjauhi kesesatan serta hawa nafsu.

3.     Gerakan sufi telah mencapai kedudukan yang teguh dan mantap dalam Islam berkat pengaruh dan kesan al-Ghazali, walaupun beliau bukanlah orang yang mula-mula memperkenalkannya kepada Islam kerana Tasawuf sudah pun wujud sebelum kemunculan Imam al-Ghazali lagi.

4.     Penonjolan beliau terhadap falsafah Neoplatoisme dalam gambaran Islam yang tulin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah ternyata tidak dipengaruhi oleh pengaruh lain selain Islam.


Selain daripada itu, Maududi juga telah mencatatkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh al-Ghazali sebagai seorang ulama ulung dalam sejarah pemikiran Islam. Kejayaan-kejayaan tersebut ialah[2] :

1.     Al-Ghazali telah mengkaji pemikiran Yunani dan mengkritiknya sehingga pengaruh Yunani kepada alam pemikiran Islam menjadi lemah. Kesan kritikannya terlalu kuat sehingga menembusi Eropah dan menghalang pengaruhnya di sana sebaliknya membuka pintu kepada zaman penyelidikan moden dan zaman enlightenment.

2.     Beliau telah berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli Falsafah dan ahli Kalam. Al-Ghazali menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung pada hipotesis-hepotesis yang tidak rasional tetapi bersandar kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata.

3.     Beliau telah memberi penafsiran yang rasional tentang kepercayaan asas Islam sehinggakan kesahihannya tidak dapat dipersoal atas dasar rasionalisme berabad-abad berikutnya. Disamping itu, beliau menerangkan hikmah setiap suruhan syariah dan memberi kepada umat konsepsi yang jelas mengenai Islam sehingga segala keraguan mereka dapat dihilangkan.

4.     Beliau telah memeriksa semua kumpulan agama pada zamannya dan perbezaan antara mereka. Dengan cermat beliau telah menjelaskan had-had antara Islam dan kufur, had-had kebebasan penafsiran dibolehkan dan batas-batas yang dilampaui yang bermakna kufur. Beliau juga menunjukkan Islam yang sebenar telah membezakan mereka daripada yang palsu.

5.     Beliau menghidupkan semula kefahaman Islam dan meninggalkan taklid buta, menentang kejumudan serta menarik perhatian masyarakat kepada punca sebenar, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

6.     Beliau mengkritik sistem pendidikan yang sedang merosot dan mengesyorkan sebuah sistem baru untuk menukarkannya. Sistem yang wujud pada masa itu mempunyai dua kelemahan iaitu : (1) ia memisahkan sains keduniaan daripada sains Islam yang mengakibatkan pemisahan urusan dunia daripada amalan agama. (2) beberapa perkara yang tiada tempat dalam syariah dimasukkan ke dalam kurikulum, seolah-olah ia adalah sebahagian daripada syariah. Jadi, institusi-institusi pendidikan memberikan hal-hal yang salah kepada pemikiran masyarakat mengenai Islam dan membantu melahirkan kumpulan baru itu. Imam al-Ghazali telah menjelaskan kelemahan-kelemahan tersebut dan menyediakan satu sistem yang menyeluruh meskipun ditentang oleh orang-orang sezaman dengannya kemudian diterima oleh semua negara Islam.

7.     Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap moral dan agama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untuk mereformasikannya. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya yang utama, Ihya’ Ulum al Din adalah hasil daripada usaha ini.

8.     Beliau telah mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud dan meminta pegawai-pegawainya melalui hubungan individu kepada islah dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk menahan dan mengkritik penindasan.



[1] Abu Zarrin bin Selamat (2006). Kepentingan Pendidikan Sakral Menurut Al Ghazali Relevannya Ke Arah Memupuk Solidariti Ummah. Kajian Teks Ihya’ Ulum Al Din, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya: Fakulti Sastera Dan Sains Sosial.
[2] Abu Zarrin bin Selamat (2006). Kepentingan Pendidikan Sakral Menurut Al Ghazali Relevannya Ke Arah Memupuk Solidariti Ummah. Kajian Teks Ihya’ Ulum Al Din, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya: Fakulti Sastera Dan Sains Sosial.

KENALI IMAM AS-SYAFIE

1.0              PENGENALAN


Imam Syafie amat dikenali di kalangan umat Islam. Umat Islam amat mengkagumi ketokohan dan kebijaksanaannya dalam bidang fiqh dan usul fiqh. Sejarah mencatatkan terdapat dua kejadian penting telah berlaku semasa kelahiran beliau. Kejadian pertama iaitu sewaktu dalam kandungan, ibunya bermimpi sebutir bintang telah keluar daripada perutnya dan terus naik menjulang tinggi, kemudian bintang itu pecah berderai dan berselerakkan memenuhi daerah-daerah di sekelilingnya. Kejadian kedua pula iaitu pada hari Imam Syafie dilahirkan, dua orang ulama besar iaitu Imam Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) dan Imam Ibn Jurej al-Makky (mufti Hijaz) telah meninggal dunia. Kedua-dua kejadian itu ditafsirkan bahawa akan lahir seorang putera yang akan menyinari alam dengan ilmunya dan bakal menggantikan kedua-dua tokoh ilmuwan yang meninggal itu. Tafsiran ini akhirnya menjadi kenyataan (Siradjuddin Abbas, 1979)[1].

2.0              RIWAYAT HIDUP
Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Saib bin Abu Yazid bin Hashim bin Abd Mutalib bin Abd Manaf. Beliau berketurunan Quraisy, ayah dan ibunya berasal dari Mekah. Beliau mempunyai pertalian darah dan keturunan dengan Rasulullah s.a.w pada datuknya Abd Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah Palestin pada tahun 150H dan wafat di Mesir pada 29 Rejab tahun 204H bersamaan dengan 820M. Nama Syafie telah diambil daripada nama datuknya iaitu Syafie bin Saib.
            Imam Syafie hidup dalam keluarga yang miskin dan menderita semasa kecilnya. Bapa beliau telah meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah membawa beliau ke Mekah, kampung halaman asal keluarganya dan tinggal di sana selama 20 tahun. Selama berada di Mekah, beliau banyak berkecimpung dalam bidang keilmuan khususnya yang berkaitan dengan ilmu agama. Ketika itu umat Islam dikatakan berada dalam “zaman keemasan” iaitu zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid dan al-Makmun.
            Imam Syafie banyak menghabiskan zaman mudanya dengan menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan. Beliau belajar membaca dan menghafal al-Quran dengan Ismail bin Qustantein. Ketika berumur sembilan tahun, beliau telah berjaya menghafal seluruh juzuk al-Quran. Imam Syafie juga berminat dengan bidang sastera Arab. Pada zamannya, Imam Syafie terkenal sebagai penyair. Syairnya sangat indah dan bermutu tinggi, bukan sahaja dari segi tema dan mesejnya tetapi dari segi bentuk dan gubahan yang terkawal dan seimbang. Menurut Mohd Saudi (1986) Imam Syafie telah menghafal sebanyak 10,000 rangkap daripada syair Huzail. Perkara ini diakui Imam Syafie dalam kitabnya, Az-Zuhdi. Beliau juga telah menghafal syair-syair daripada Amru al-Qiss, Zuheir, Jarir dan lain-lain.
Ketika berusia 13 tahun, Allah s.w.t mengurniakan kepadanya suara yang merdu. Apabila beliau membaca al-Quran, ulama di Mekah menjadi khusyuk dan menangis semasa mendengar bacaannya kerana takut kepada Allah s.w.t. Pada usia 10 tahun Imam Syafie telah menghafal kitab al-Muwatta’, karangan Imam Malik. Imam Syafie telah menghafal kitab tersebut dalam tempoh sembilan malam. Ketika berusia 15 tahun pula beliau diiktiraf menjadi guru Sheikh di Masjid Haram dan boleh memberi fatwa.
 
 
3.0              GURU-GURU DAN MURID-MURID IMAM SYAFIE
Imam Syafie telah menuntut banyak ilmu daripada para gurunya yang jauh dari tempat tinggalnya dan guru-guru tersebut juga mempunyai manhaj keilmuan yang berbeza. Beliau telah menimba ilmu dari para guru di Mekah, Madinah, Yaman dan Iraq. Imam Syafie mempunyai ramai guru kerana beliau banyak mengembara. Antara guru-gurunya yang tersohor iaitu mereka yang terkenal pandai dalam bidang fikah dan fatwa. Antara guru beliau ialah[2] :
  1. Di Mekah
1.      Sufyan bin Uyainah
2.      Muslim bin Khalid Al-Zanji
3.      Said bin Salim Al-Qaddah
4.      Daud bin AbdurrahmanAl-Aththar
5.      Abdul Hamid bin Abd Azizi bin Abi Rawad
6.       Ismail bin Qustantein
  1. Guru Imam Syafie di Madinah
1.      Imam Malik bin Anas
2.      Ibrahim Ibn Saad Al-Ansari
3.      Abdul Aziz bin Muhammad ad-Darurdi
4.      Ibrahim Abnu Abi Yahya al-Asaami
5.      Muhammad bin Said
  1. Guru Imam Syafie di Yaman
1.      Muthraf bin Mazin
2.      Hisyam bin Abu Yusuf Qadi San’a
3.      Umar bin Abi Salamah
4.      Yahya bin Hasan
  1. Guru Imam Syafie di Iraq
1.       Waki’ bin Jarrah,
2.      Abu Usamah Hamad bin Usamah,
3.      Ismail bin ‘Aliah,
4.      Abdul Wahab bin Abd Majid,
5.      Muhammad bin Al-Hassan.
Imam Syafie mempunyai ramai murid yang setia menuntut ilmu dari beliau pada ketiga fasa kehidupan intelektualnya sama ada ketika beliau menetap di Mekah, Baghdad dan Mesir. Antara murid-murid beliau ialah :
  1. Di Mekah
1.       Abu Bakar Al-Humaidi
2.      Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad Al-‘Abbasi
3.      Abu Bakar Muhammad bin Idris
4.      Abu Al-Walid Musa bin Abu Al-Jarud
  1. Di Baghdad  
1.      Abu Al-Hasan Ash-Shubbah Al-Za’fariim
2.      Abu Ali Al-Husaini bin Ali Al-Karabisi
3.      Abu Tsaur Al-Kalbi
4.      Abu Abdurrahman Ahmad bin Muhammad bin Yahya Al-Asy’ari Al-Bashri
5.      Imam Ahmad bin Hanbal
6.      Ishak bin Rahawaih
  1. Di Mesir
1.      Harmalah bin Yahya bin Harmalah
2.      Abu Ya’qub bin Yahya Al-Buaithi
3.      Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzni
4.      Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam
5.      Ar-Rabi’ bin Sulaiman bin Daud Al-Jizi
6.      Ar-Rabi’bin SulaimanAl-Muradi
Anak murid Imam Syafie yang benar-benar rapat yang membantu beliau menulis dan menyusun buku tidaklah ramai. Antaranya ialah Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi, Abdullah bin Zubier Al-Humaidi, Abu Ya’qub bin Yahya Al-Buwaiti Al-Masri, Abu Ibrahim, Ismail bin Yahya Al-Muzani Al-Masri, Ar-Rabi’ bin Sulaiman Al-Jizi, Harmalah bin Yahya Al-Yajubi dan Yunus bin Abdil A’la.

 4.0              BUKU-BUKU DAN SUMBANGANNYA

Imam Syafie banyak menulis buku yang kebanyakannya menjurus kepada ilmu fiqh dan usul fiqh. Dikatakan bahawa Imam Syafie telah mengarang 113 kitab dalam ilmu usul, tafsir, fikah, adab, ilmu falak, ilmu kedoktoran dan lain-lain yang memberi sumbangan yang besar kepada ahli fikir Islam. Antara karya-karyanya ialah : Ar-Risalah, Ahkam al-Quran, Ikhtilaf al-Hadith, Ibtal al-Istihsan, Jima’ al-Ilm, Kitab Al-Qiyas. Kesemua karya ini adalah dalam kitab Usul Fiqh. Manakala karya beliau dalam kitab Fikah ialah Al-Umm, Al-Musnad, Mukhtasar al-Muzani, Harmalah, Jami’al al-Muzani al-Kabir dan Jami’ul-Muzani as-Syaghir.
Imam Syafie adalah ulama mujtahidin yang kuat berpegang kepada al-Quran, Hadith, Ijma’ Ulama, Qias dan Masolih al-Mursalah. Pendapat Imam Syafie diterima oleh sebahagian besar orang-orang Islam kerana segala fatwanya sesuai dengan suasana, masyarakat dan adat resam sesuatu kaum. Beliau mengasaskan kaedah-kaedah tertentu dalam mensabitkan hukum seperti menggunakan hadis yang sohih untuk mensabitkan hukum tanpa melihat statusnya. Beliau sangat teliti dalam mengutarakan pandangan khususnya dalam masalah ibadah. Mazhab as-Syafie telah berkembang dengan pesat di Afrika Utara, Mesir, Indo China, Sri Lanka, Armenia, Kurdistan dan di Kepulauan Melayu, Indonesia, Singapura dan Malaysia.






[1] Samsu Adabi Mamat, Wan Ramli Wan Muhamad (2002). Cendekiawaan Islam Perintis Peradaban Manusia. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

[2] Muhammad Zahrah (2011). Biografi Gemilang Imam Syafie. Terj: H. Muhammad Zuhirsyan, Puchong, Selangor: Jasmin Publications.